Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 12 JUN 2025 : Pengedaran risalah maklumat berkaitan pelbagai insentif bantuan Kerajaan Negeri menerusi Program Sentuhan Rakyat Makmur Negeri Pahang (PSRM) siri keempat yang diadakan di sini hari ini disifatkan sebagai pendekatan berkesan dalam memastikan rakyat cakna inisiatif yang disediakan.
Menurut YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, risalah tersebut diedarkan kepada peserta yang hadir sebelum Sesi Townhall Bersama Rakyat bagi memberi pendedahan awal berhubung bantuan yang tersedia serta cara-cara untuk memohonnya.

“Dari segi program Sentuhan Rakyat Makmur Pahang kali ini, ada dibuat sedikit perbezaan di mana sebelum bermulanya sesi soal jawab (townhall) ini, mereka yang datang dan berdaftar, kita minta pihak sekretariat memberi risalah yang mengandungi informasi berkaitan dengan apa yang Kerajaan Negeri rancang dan bajet yang telah diluluskan untuk pemberian bantuan yang sebelum ini kita panggil Bantuan Prihatin Pahang (BPP) dan sekarang telah bertukar kepada Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang).
“Diharap dengan maklumat awal yang diberikan itu, mereka akan bertanya (berkaitan IM Pahang) kerana saya khuatir apa yang kita buat selama ini, mereka tidak tahu atau mereka tahu tetapi tidak tahu bagaimana mereka hendak mendapatkan bantuan itu.

“Diedarkan maklumat di dalam risalah itu apakah kluster-kluster sasaran kita bersesuaian dengan bajet yang dibuat. Kita ada sediakan nombor telefon orang yang mereka boleh hubungi secara terus,” katanya ketika ditemui Pahang Media selepas sesi berkenaan yang diadakan di Dewan Utama Majlis Daerah Jerantut, di sini hari ini.
Sesi Townhall Bersama Rakyat itu turut dihadiri YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; Pegawai Daerah Jerantut, Tuan Sulaiman Husin; dan ketua-ketua jabatan.
YB. Dato’ Indera Haji Nazri turut berharap agar setiap program PSRM yang diadakan memberikan impak positif dan hasil yang nyata kepada rakyat dan bukan sekadar kehadiran tanpa tindakan susulan.

Beliau turut menekankan keperluan setiap maklum balas dan soalan yang dikemukakan rakyat direkod dan disusuli dengan jawapan bertulis bagi memastikan persoalan yang dikemukakan diambil tindakan sewajarnya.
“Seperti sebelum ini, saya minta supaya apa yang kita jawab secara lisan atau bertulis, wajib dihantar kepada pihak yang bertanya secara bertulis supaya mereka boleh monitor (tindakan seterusnya). Tidak ada bila kita bercakap, habis di sini sahaja. Yang penting rakyat berpuas hati dengan penglibatan kita.
“Saya fokus semasa sesi dialog (townhall) itu, jangan hanya memberikan jawapan yang selamat sahaja. Biar jawapan yang kalau boleh diberikan full-stop (penyelesaian), kita beri full-stop. Jawapan dengan penyelesaian boleh memberikan kelegaan dan memberi keyakinan rakyat terhadap kerajaan,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu turut berharap agar pimpinan setempat untuk terus memainkan peranan dalam menjadi perantara antara Kerajaan Negeri dan rakyat.
“Jadi perkara ini diharap terutama ketua-ketua kampung, ketua-ketua jabatan yang berada di daerah dan seluruh pentadbiran negeri Pahang ini menjadi perantara antara kerajaan dan rakyat…teruskan main peranan.
“Saya agak berpuas hati dari segi bantuan Kad Kesihatan Kasih Makmur di mana di beberapa tempat yang saya lawati (Program Ziarah Makmur) tadi, ada yang sudah dalam proses permohonan. Jadi nampak ada respon yang bagus. Cuma dari segi proses sahaja.
“Dan ada yang tahu tapi tidak tahu bagaimana hendak mendapatkan bantuan tersebut. Jadi dengan kehadiran kami bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tadi, kita terus ambil maklumat dan mengisi permohonan untuk membantu memudahkan (urusan) mereka,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

