Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 12 JUN 2025 : Forum Pasaran Global & Malaysia menjadi platform memperkenalkan Negeri Pahang kepada para pelabur yang berpotensi.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, ia juga memberi pendedahan kepada para pelabur mengenai peluang yang ditawarkan di negeri Pantai Timur.

“Ini merupakan satu platform untuk saya menceritakan sedikit sebanyak mengenai peluang-peluang yang ada dalam Negeri Pahang supaya para pelabur di peringkat antarabangsa dan juga yang berpangkalan di Kuala Lumpur celik mata mengenai peluang-peluang yang ada di Pahang.
“Secara tradisi mereka terlalu tertumpu kepada negeri-negeri di Pantai Barat tetapi mereka perlu sedar bahawa adanya peluang besar untuk pelaburan di negeri-negeri Pantai Timur, yang mempunyai potensi yang sangat besar dan menunggu masa untuk dipelopori dan diceburi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada forum Global Markets & Malaysia : Shaping the Next Six Months di Equatorial (EQ) Plaza.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Ecorad Capital Berhad (ERCB) Malaysia, Encik Ridhwan Rosli dan Ketua deVere Malaysia, Andrew Murray.
Beliau berkata negara juga dilihat perlu beralih kepada pasaran baharu bagi dagangan masa panjang sekiranya hubungan perdagangan bersama Amerika Syarikat menjadi sukar akibat isu tarif yang timbul.
Selain itu, beliau berkata Malaysia juga perlu memperkukuhkan hubungan perdagangan dengan blok ekonomi lain seperti China dan negara Timur Tengah dan ia dilihat dapat direalisasikan menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP). -PAHANGMEDIA

