Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 11 JUN 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju menerima pakai fatwa yang dikeluarkan Pejabat Mufti Negeri Pahang dalam mengharamkan penggunaan rokok elektronik atau vape secara menyeluruh di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, keputusan itu dimaklumkan dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pahang yang diadakan di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS), di sini, hari ini.
“Sebagaimana yang telah difatwakan oleh Mufti Kerajaan Negeri Pahang dan fatwa itu telah dimaklumkan kepada Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Pahang pada 3 Mac yang lalu melalui satu kertas yang dihantar oleh Pejabat Mufti bahawasanya tentang penggunaan vape atau rokok elektronik oleh masyarakat masa kini.
“Kerajaan Negeri telah mengambil maklum serta dibawa ke dalam mesyuarat pada 14 Mei. Ini disebut oleh sendiri YAB Menteri Besar Pahang dan telah mendapat limpah perkenan KDPB Tuanku (Sultan Pahang) dalam beberapa siri titah Tuanku dan kebimbangan Tuanku terhadap perkara ini.
“Sehubungan ini Kerajaan Negeri telah bersetuju atas fatwa Mufti didalam mengharamkan penggunaan vape ini.,” katanya.
Turut hadir dalam sidang media ialah Pengarah JAIP, YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman.
Dato’ Sri Syed Ibrahim turut berharap agar pihak berkuasa tempatan dapat melaksanakan penguatkuasaan secara berhemah dan berhikmah bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya vape.
“Kita faham peniaga ada kekangan. Maka boleh mula secara beransur-ansur dengan tidak mengambil bekalan vape. Bagi pengguna pula, berikhtiarlah dan berazam untuk meninggalkannya dengan bantuan doa kepada Allah SWT,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa YAB Menteri Besar Pahang bersetuju meluluskan kenaikan pangkat secara one-off melibatkan pegawai kumpulan pengurusan dan profesional Gred S9, S10 dan S12 di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Kenaikan ini melibatkan seramai 15 orang pegawai JAIP, seorang pendakwa syarie dan seorang pegawai di Jabatan Mufti. Selain itu, guru-guru sekolah agama negeri Pahang Gred DG5, DG6, DG7 dan DG8 yang memiliki ijazah sarjana muda juga akan dinaikkan ke Gred DG9.
Tambah beliau, mesyuarat hari ini turut membentangkan tujuh kertas cadangan yang akan diangkat ke Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK), antaranya berkaitan usaha pemutihan status penduduk asal Kedah yang berpindah ke Burma dan kini tinggal di Pahang atau dikenali sebagai Kedah-Burma.
Kumpulan ini yang dahulunya tertindas akibat perbezaan kaum di Burma kini menetap di Pahang dengan jumlah sekitar 1,000 individu melibatkan 300 keluarga.
Katanya lagi, mereka berdepan kesukaran kerana tiada dokumen pengesahan perkahwinan dan kekeluargaan, walaupun telah diberikan kewarganegaraan.
“JAIP bersama Mahkamah Syariah mengambil pendekatan 4P – Permohonan, Pengesahan, Pendaftaran dan Pemutihan.
Seramai 22 pasangan telah disahkan status perkahwinan mereka pada April lalu, manakala 29 keluarga lagi akan menyusul pada Jun ini. Kita sasarkan pemutihan ini dapat diselesaikan secara berperingkat sebelum akhir tahun ini,” katanya. -PAHANGMEDIA

