Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 25 MEI 2025 : Tiga lelaki warga asing ditahan ketika memindahkan hasil sawit di atas tanah Kerajaan Negeri secara haram di Kampung Paya Petai, Temerloh semalam.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali, kesemua mereka ditahan bersama sebuah kenderaan yang memuatkan hasil sawit semasa operasi dijalankan.
“Pada 24 Mei 2025, jam lebih kurang 12 tengah hari, anggota Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) Zon Tengah telah membuat rondaan pemantauan di sekitar daerah Temerloh.

“Lebih kurang jam 1.20 petang, anggota mula bergerak ke lokasi Paya Petai setelah membuat rondaan pemantauan di kawasan yang lain dan setibanya di lokasi berkenaan, anggota telah membuat pemantauan sekiranya terdapat sebarang aktiviti mencurigakan dan mendapati terdapat aktiviti mengutip hasil sawit dijalankan.
“Semakan mendapati bahawa aktiviti dijalankan di atas tanah Kerajaan, mukim Songsang, daerah Temerloh. Pegawai kemudiannya telah melakukan serbuan di kawasan berkenaan dan menahan tiga lelaki bersama sebuah farm loader,” katanya.
Beliau berkata kesemua yang ditahan turut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran menjalankan aktiviti pemindahan hasil sawit.

“Hasil semalan mendapati tiada sebarang dokumen kebenaran yang sah daripada pihak berkuasa negeri bagi menjalankan aktiviti pemindahan hasil sawit di kawasan tersebut.
“Kesemua mereka juga hanya menunjukkan dokumen pengenalan diri sahaja dan gagal menunjukkan sebarang dokumen berkenaan dengan aktiviti yang disyaki mengambil hasil sawit tersebut,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya menyiasat kes ini dibawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (Akta 828) kerana memindahkan hasil dari tanah kerajaan secara tidak sah. -PAHANGMEDIA

