Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 26 MEI 2025 : Empat judul buku eksklusif mencerminkan pelbagai sisi keindahan dan keunikan negeri Pahang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-42 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam.
Menurut Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy, pelancaran buku eksklusif itu memperlihatkan kekayaan warisan negeri dan menjadi cerminan komitmen pelbagai agensi dalam memartabatkan Pahang sebagai negeri yang menjulang budaya ilmu.
Empat judul buku eksklusif itu ialah Pahang – Faces of The Forests, Orang Asal – Dances Among the Trees, The Colours of Arboretum Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah dan Sketch Kuala Lipis – Bandar Warisan.

“Setiap judul buku mencerminkan sisi unik Pahang diterjemahkan melalui hasil kreativiti tiga jabatan berbeza daripada dokumentasi hutan simpan hingga warisan Orang Asli dan sejarah Kuala Lipis.
“Buku Pahang – Faces of The Forests dan The Colours of Arboretum Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah diterbitkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Koleksi Buku Eksklusif Negeri Pahang dan Pristine Pahang Sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur Kali Ke-42 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengetengahkan Orang Asal – Dances Among the Trees yang turut menampilkan hasil komuniti Orang Asli di ruang pameran Bilik Pristine Pahang.
Bagi buku Sketch Kuala Lipis: Bandar Warisan diterbitkan Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang (PPAP) menjadi tumpuan istimewa kerana merakam warisan visual ibu negeri pertama Pahang itu secara kreatif dan penuh nilai estetika.
“Sebagai anak kelahiran Lipis, saya amat berbangga dengan dokumentasi visual dihasilkan. Ia menggamit nostalgia dan menyumbang kepada usaha mendidik generasi akan kepentingan sejarah tempatan,” katanya.

Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, pihaknya akan menambahbaik penerbitan koleksi buku eksklusif berkenaan dari semasa ke semasa dan mungkin akan menerbitkan dalam edisi digital pada masa akan datang.
“Selain itu, cadangan untuk menterjemahkan koleksi buku eksklusif berkenaan antara usaha proaktif dilakukan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Medal Lions Creative, rakan strategik Negeri Pahang dalam menjayakan pameran eksklusif berkenaan bersama Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) serta semua jabatan dan agensi yang berganding bahu menjayakan pameran Pahang di PBAKL buat julung kalinya.
Dalam majlis sama, beliau turut mengumumkan Pesta Buku Pahang 2025 akan berlangsung dari 25 Oktober hingga 2 November ini di Pahang.-PAHANGMEDIA

