Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang menyumbang sebanyak RM500,000 bagi membantu menjayakan Kem A-Plus, satu inisiatif pendidikan anjuran Yayasan Pelajaran MARA (YPM).
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan ini merupakan tanda sokongan padu Kerajaan Negeri terhadap usaha memperkasa generasi muda negeri ini.
“Kerajaan Negeri Pahang akan sentiasa memberi sokongan atas usaha murni ini lebih-lebih lagi untuk memperkasakan anak muda dalam aspek pendidikan, kepimpinan, keusahawanan dan juga pembangunan sahsiah.

“Kerana kita tahu bahawa anak-anak muda merupakan tulang belakang pembangunan negeri dan negara. Ditangan anak muda inilah terleletaknya harapan untuk mewarisi dan juga membantu kemajuan masa hadapan,” katanya ketika berucap di majlis Pelancaran Skuad YPM Peringkat Kebangsaan 2025 bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Majlis pelancaran berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Pengerusi YPM, YH Dato’ Sri Dr. Hj. Ismail Hj. Mohamed Said; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy juga berkata, Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk menyediakan platform kepada belia agar mereka diberi peluang memimpin, berinovasi dan menyumbang.

“Program Kem A-Plus YPM yang melahirkan SKUAD YPM ini adalah antara insiatif penting untuk melibatkan anak muda secara langsung dalam pelbagai bidang termasuk keusahawanan, pendidikan, kesukarelawan dan kepimpinan.
“Kami di peringkat Kerajaan Negeri amat menghargai peranan MARA dan YPM dalam menyediakan ruang dan peluang untuk pembangunan modal insan Bumiputera di negeri ini,” katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut mengambil peluang memperkenalkan inisiatif Pahang Lead, sebuah program pembangunan kepimpinan belia yang telah dilaksanakan sejak tahun 2024.
“Untuk pengetahuan YAB Dato’ Seri, program Pahang Lead merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri bersama-sama Yayasan Pahang dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang yang melibatkan lebih 261,000 pelajar sekolah menengah di seluruh negeri,” ujarnya.

Katanya lagi, program tersebut direka bentuk secara berperingkat daripada Tier 1 hingga Tier 4 untuk mengenal pasti serta memupuk bakat kepimpinan muda melalui modul pembinaan jati diri, kenegaraan dan kemahiran pengurusan.
“Alhamdulillah, pada tahun ini, daripada 261,000 pelajar yang kita pilih, kita telah berjaya melahirkan 55 orang pemimpin muda Pahang Elite hasil daripada program ini.
“Padang tahun 2024, kita telah memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk program ini dan pada tahun ini Kerajaan Negeri telah menambah daripada RM1 juta kepada RM2 juta untuk terus membangunkan Pahang Lead di peringkat negeri Pahang,” jelasnya.
Menurut beliau, seramai 251,279 pelajar dijangka terlibat di peringkat awal (Tier 1) tahun ini, dengan proses saringan berterusan sehingga hanya 66 pemimpin muda terbaik akan dipilih ke peringkat akhir. -PAHANGMEDIA

