Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 MEI 2025: Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memandang serius terhadap pelaksanaan program-program yang melibatkan golongan belia dan anak muda di seluruh negeri ini, dengan peruntukan melebihi RM3 juta disalurkan setiap tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal berkata, jumlah tersebut menjadikan Pahang antara negeri yang memperuntukkan bajet terbesar untuk pembangunan belia berbanding negeri-negeri lain.

“Kerajaan Negeri Pahang menyalurkan peruntukan yang besar setiap tahun dan jika dibandingkan dengan negeri lain, kita antara negeri yang menyalurkan peruntukan yang besar iaitu lebih RM3 juta setahun, begitu juga untuk tahun 2025.
“(Peruntukan) untuk penganjuran program-program belia khususnya berkait dengan Hari Belia, program kepimpinan, ‘retreat’ untuk pemimpin pelapis belia yang insyaAllah akan dilaksanakan pada bulan hadapan.
“Jadi program-program sebegini amat membantu sebenarnya belia membentuk ketahanan diri untuk berdepan cabaran yang cukup hebat pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Festival Belia Pahang Sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang 2025 yang berlangsung di Wisma Belia di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
Dalam pada itu, YB. Tuan Fadzli turut menyambut titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah agar penganjuran aktiviti yang menguji ketahanan dan ketangkasan belia diperluaskan ke seluruh negeri.
“Mengambil contoh pelaksanaan program Mara Lasak di Ulu Dong, Raub di mana program larian sejauh 10 kilometer menempuhi pelbagai halangan termasuk denai hutan, melalui sungai dan laluan berbukit yang memang cukup lasak.
“Dan Tuanku titah untuk pelaksanaan program ini dilaksanakan di seluruh negeri Pahang di setiap daerah,” katanya lagi.

Tambah beliau, program Mara Lasak seterusnya dijangka akan dilaksanakan di Jelai, Lipis sekitar awal tahun hadapan dengan memperluaskan lagi penyertaan lebih 1,000 belia.
“Program ini bukan sahaja melahirkan belia berketahanan fizikal dan mental, malah menerapkan gaya hidup sihat melalui penglibatan dalam sukan lasak,” ujarnya.
Mengulas mengenai sambutan Karnival Belia Anak Pahang, beliau melahirkan rasa gembira dengan penyertaan belia yang amat memberangsangkan, termasuk acara larian sejauh 10 kilometer yang disertai lebih 2,000 peserta.
“Jadi ini permulaan baik. Kita terapkan dalam Festival Belia Pahang ada acara (larian) sebegini dan mahu tahun hadapan kita nak ada acara sebegini yang lebih rancak dengan lebih banyak penyertaan,” katanya.
– PAHANGMEDIA

