Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
Foto: Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 17 MEI 2025 : Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat menyempurnakan Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) 2025 Wilayah Timur bagi tahun Kedua yang berlangsung di Wisma Belia, di sini hari ini.

Paduka Mulia turut berjaya menamatkan larian sejauh 10 kilometer (km) bersama seramai 2,500 orang peserta terdiri daripada warga perkhidmatan awam dan juga masyarakat umum.

Perlepasan dilakukan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz.
Hadir sama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal.

Acara terbabit menawarkan tiga kategori larian iaitu 3 kilometer (km), 5km dan 10km, sebagai pendekatan inklusif dalam memupuk semangat kesukanan, memperkukuh jaringan komuniti serta menggalakkan gaya hidup sihat secara menyeluruh menerusi enam siri jelajah Larian MAPPA mengikut wilayah sebagai manifestasi pembaharuan dalam kerangka kerja yang lebih inklusif.

Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah yang disampaikan oleh Tan Sri Wan Ahmad Dahlan kepada 42 pemenang berupa medal dan cek replika bernilai antara RM300 hingga RM 800 mengikut kategori lelaki dan wanita. -PAHANGMEDIA

