Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
PEKAN, 15 MEI 2025 : Guru-guru Sekolah Menengah Agama (SMA) di negeri ini meluahkan rasa bersyukur dan terharu kepada sumbangan teleskop yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang bagi meningkatkan pembelajaran ilmu falak dari segi praktikal.
Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Al-Ulum Addiniah Dong Raub, Encik Mohd Aidil Yusri Md Yusof berkata beliau amat terharu di atas sumbangan yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Pahang yang dapat memberi manfaat kepada pelajar berkenaan ilmu falak.

“Saya rasa amat gembira dan terharu kerana pihak Kerajaan Negeri Pahang dah bagi sumbangan teleskop ni kepada sekolah kami.
“Sebelum ni, kita dapat guna teleskop bila ada program yang dianjurkan oleh pihak mufti sahaja. Sekarang bila dah dapat sendiri (teleskop), kita boleh tahu cara guna dengan lebih details.
“Dan sebelum ada peralatan ini (teleskop), pelajar hanya belajar secara teori sahaja. Kita hanya menggunakan internet dan aplikasi yang berkenaan. Sekarang, kerajaan dah bagi teleskop ini pelajar dah boleh belajar secara terus,” katanya.

Manakala, Pengetua Sekolah Menengah Agama Al-Wosto, Puan Romila Amir Hamzah berkata pihak sekolah akan menggunakan sumbangan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan ini dengan sebaik mungkin.
“Semestinya saya akan membuat program untuk sekolah saya supaya tidak menjadi gajah putih dan program itu juga akan melibatkan sekolah-sekolah sekitar saya dan berkolaborasi dengan mereka supaya mereka juga dapat belajar bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar Jengka, Puan Saniah Muhammad turut berkongsi kegembiraan diatas sumbangan ini dan menyifatkan ianya amat bermakna bagi pelajar sekolah terutamanya dalam kegiatan kokurikulum.
“Kami dari pihak Sekolah Menengah Agama Pulau Tawar, kami amat menyanjungi dan melahirkan rasa berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy kerana telah memberikan peruntukkan yang sangat banyak ini kepada sekolah menengah agama di Negeri Pahang untuk kegunaan para pelajar. Terima kasih Tokwan (YAB Menteri Besar),” katanya. – PAHANGMEDIA

