Oleh : Ain Nadhirah Basha & Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 14 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang dalam proses melaksanakan Sistem Pengurusan Risiko Rasuah dan Sistem Pengurusan Anti Rasuah ke semua jabatan kerajaan di negeri ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, hampir keseluruhan anak syarikat Kerajaan Negeri Pahang telah melaksanakan sistem ini buat masa ini.
“Sebagai langkah konkrit dalam memperkukuhkan integriti, Kerajaan Negeri Pahang akan menerapkan sistem Pengurusan Risiko Rasuah (Corruption Risk Management – CRM) dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ISO 37001 Anti-Bribery Management System – ABMS) di semua jabatan kerajaan.

“Ini bagi memastikan setiap organisasi memiliki mekanisme pencegahan rasuah yang mantap, sekaligus mengurangkan sebarang risiko ketirisan dan salah guna kuasa. Dengan pelaksanaan sistem ini, setiap organisasi akan dapat mengenal pasti, menganalisis, dan mengawal risiko rasuah dengan lebih sistematik.
“Sistem ini juga akan memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil dalam pentadbiran negeri ini dibuat berdasarkan prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Hotel Grand Darul Makmur.

Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Haji Fadzilla Salleh; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, YBhg. Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi; barisan Ahli Majlis Kerajaan Negeri; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Dato’ TKPj Azmi Kamaruzaman dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pahang, YBrs. Mohd Shukor Mahmud.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga akan terus memperkukuhkan dasar-dasar integriti, serta meningkatkan sistem pemantauan dan memperketatkan kawalan ke atas penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.
“Negeri Pahang harus menjadi contoh dalam memastikan budaya kerja yang bersih dan telus diamalkan di semua peringkat pentadbiran. Oleh itu, semua pegawai dan kakitangan kerajaan perlu menjadi teladan dalam melaksanakan amanah yang diberikan tanpa kompromi terhadap nilai-nilai integriti.
“Dengan komitmen bersama, kita mampu meletakkan Pahang sebagai negeri yang berintegriti tinggi serta dihormati di peringkat nasional.
“Kerajaan Negeri Pahang akan terus menyokong segala dasar dan inisiatif yang diperkenalkan oleh SPRM dan Kerajaan Malaysia dalam usaha memperkukuhkan ketelusan, meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, serta memastikan keadilan terpelihara dalam setiap aspek pentadbiran dan pengurusan,” katanya. -PAHANGMEDIA

