Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 15 MEI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah menyumbang teleskop kepada 18 Sekolah Menengah Agama (SMA) di negeri ini bagi memberikan lebih pendedahan berkenaan pengajian ilmu falak di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM45,000 bagi tujuan ini.

“Pejabat Mufti telah mengadakan satu program bersama Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang yang mana beliau telah berusaha untuk memberi pendedahan kepada sekolah agama, kepada guru dan pelajar tentang ilmu falak.
“Jabatan Mufti juga telah meminta bantuan daripada Kerajaan Negeri untuk mengagihkan teleskop ini kepada 18 buah sekolah dan Kerajaan Negeri bersetuju menguruskan bajet sebanyak RM45,000 bagi memastikan sekolah ini mewujudkan pendidikan ilmu astronomi yang membantu pendedahan kepada guru dan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Teleskop Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang dan Bengkel Pengendalian Teleskop KO Falak SMAN di Kulliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar.

Turut hadir, Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Prof. Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim; Sahibul Fadhilah Timbalan Mufti Negeri Pahang, YH. Dato’ Haji Badli Shah Haji Alauddin; dan Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Abdul Zaki Mat Zain.
Beliau berkata sebelum ini para pelajar sekolah SMAN menggunakan peralatan yang dibawa oleh Jabatan Mufti dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi tujuan pembelajaran.
“Sebelum ini sekolah-sekolah ini tak ada alat ini dan mereka belajar secara teori. Tapi kali ini Jabatan Mufti bantu mereka secara praktikal supaya mereka dapat lebih merasai pembelajaran.

“Dan sebelum ini, Jabatan Mufti bersama JUPEM bergerak dari sekolah ke sekolah bersama peralatan bagi memastikan pelajar terdedah dengan peralatan ini.
“Saya harap pihak sekolah dapat mengambil manfaat kepada sumbangan ini dan sentiasa memberi sokongan yang terbaik di antara sekolah dengan jabatan agama dan jabatan mufti supaya ilmu ini kita dapat kembangkan, majukan lagi,” katanya.
Modul KO Falak SMAN telah dilancarkan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang pada 2018 yang ketika itu merupakan Tuanku Pemangku Raja Pahang, di mana ia menjadi panduan pelaksanaan sistematik dalam pengajaran ilmu falak di semua SMAN di negeri ini. -PAHANGMEDIA

