Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 24 APRIL 2025 : Kerajaan Negeri Pahang komited untuk melaksanakan pendekatan menyeluruh bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, melalui pemerkasaan dan pengurusan pertanian.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir. Mohd Soffi Tan Sri Abdul Razak, ini kerana kebergantungan negara kepada makanan import dilihat semakin membimbangkan.
“Kebergantungan negara kepada makanan import semakin membimbangkan, dengan nilai import mencecah RM75.7 bilion pada tahun 2023 berbanding RM55.5 bilion pada 2018.
“Justeru, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan seperti PKPP, Jabatan Pertanian dan LPP sedang melaksanakan perancangan jangka pendek dan panjang bagi meningkatkan produktiviti pertanian negeri secara mampan.
“Kerajaan Negeri komited untuk melaksanakan pendekatan menyeluruh bagi memperkukuh keterjaminan makanan serta mengurangkan kebergantungan kepada import makanan, melalui pemerkasaan teknologi, pengurusan tanah yang lebih sistematik, pembangunan modal insan berkemahiran tinggi serta pemerkasaan nilai tambah komoditi pertanian negeri,” katanya.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang juga turut melaksanakan inisiatif melibatkan pertanian komuniti selain menggalakkan amalan pertanian baik.
“Antara inisiatif yang sedang dilaksana adalah pelaksanaan pertanian komuniti dalam satu kumpulan masyarakat yang berminat dalam pertanian di samping menjana pendapatan sampingan dalam satu komunti.
“Program ini telah dilaksanakan bermula tahun 2021,sebanyak 5144 projek telah menerima peruntukkan berjumlah keseluruhan RM5,784,900.
“Kerajaan turut menggalakkan amalan pertanian baik seperti penggunaan baja bioorganik, integrasi tanaman-ternakan serta penggunaan teknologi dalam pertanian. Sebagai contoh, kajian menunjukkan sistem fertigasi mampu tingkatkan hasil tanaman hingga 30 peratus serta menjimatkan input sebanyak 15 hingga 25 peratus,” katanya.
Selain itu, menurut beliau, pelaksanaan sistem pertanian seperti secara pendigitalan juga dapat membantu para petani dalam aktiviti pertanian yang diusahakan.
“Selari dengan transformasi digital, pelaksanaan sistem pertanian seperti secara Internet of Things (IOT) dan aplikasi Geotanaman dapat membantu daripada segi pelaksanaan operasi di ladang, pemantauan hasil, serta penyelarasan pasaran dan logistik.
“Inisiatif pendigitalan ini dijangka dapat mengurangkan ketirisan data, meningkatkan kecekapan perancangan serta memudahkan petani mengakses maklumat dan bantuan secara terus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

