Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Jumlah pesara kerajaan yang menjadi mangsa kes penipuan atas talian meningkat kepada 115 orang pada 2024 berbanding 108 orang pada 2023, dan 87 orang pada 2022.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Encik Sim Chon Siang berkata namun jumlah laporan yang diterima bagi tahun 2024 menurun sebanyak 1,845 kes berbanding 1,994 kes pada 2023.
“Pada tahun 2022, sebanyak 1,819 mangsa telah membuat laporan polis berkenaan penipuan atas talian. Manakala pada tahun 2023 sebanyak 1,994 kes dan 1,845 kes bagi tahun 2024.
“Kerugian bagi penipuan atas talian bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM35,049,055.29, manakala kerugian pada tahun 2023 adalah sebanyak RM RM46,123,363.50 dan pada tahun 2024 adalah sebanyak RM39,366,139.08.
“Jumlah pesara kerajaan yang telah menjadi mangsa bagi kes penipuan atas talian adalah seramai 87 orang bagi tahun 2022, 108 orang pada tahun 2023 dan 115 orang pada tahun 2024,” katanya.
Beliau berkata daerah Kuantan merekodkan jumlah kes penipuan atas talian dan kerugian akibat penipuan paling tinggi di negeri Pahang bagi ketiga-tiga tahun bermula 2022 sehingga 2024.
“Kuantan merekodkan jumlah kes penipuan atas talian sebanyak 2,398 kes bagi tahun 2022,2023, dan 2024 dengan jumlah kerugian sebanyak RM53,506,583.20; diikuti Temerloh dengan 824 kes (RM15,267,154.29); Bentong dengan 714 kes (RM18,721,759.74); Bera dengan 268 kes (RM3,058,003.49).
“Raub dengan 259 kes (RM7,643,196.11); Pekan dengan 229 kes (RM3,022,110.94); Jerantut dengan 214 kes (RM3,880,596.63); Maran dengan 204 kes (RM3,283,087.05); Rompin dengan 195 kes (RM3,131,124.89); Kuala Lipis dengan 158 kes (RM2,885,370.28); dan Cameron Highlands dengan 133 kes (RM5,435,428.42),” katanya.
Tambah beliau, e-belian merupakan kategori penipuan atas talian yang paling banyak direkodkan berlaku di negeri Pahang sepanjang tempoh tiga tahun berkenaan.
“Bagi e-belian sebanyak 1,623 kes direkodkan dengan kerugian sebanyak RM14,673,829.42; pelaburan dengan 992 kes (RM43,445,765.73); pinjaman tidak wujud dengan 881 kes (RM 7,909,510.22).
“Phone scam atau Macau scam sebanyak 856 kes (RM31,724,670.80); tipu tawaran kerja sebanyak 726 kes (RM12,557,542.16); tipu penyamaran sebanyak 318 kes (RM1,641,635.09); dan love scam sebanyak 200 kes (RM7,881,462.12),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Dato’ Wong Tat Chee pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

