Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 22 APRIL 2025 : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Majlis Daerah Rompin (MDR) bagi lot tapak pembangunan Taman RV bagi Projek Caravan Park di Pantai Hiburan, Rompin.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, peruntukan tersebut adalah bagi membina 10 tapak RV yang melibatkan sebahagian tapak cadangan Taman RV.
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM500,000 kepada Majlis Daerah Rompin (MDR) untuk membina 10 plot tapak RV di sebahagian tapak cadangan Taman RV tersebut.
“Selain itu, ECERDC akan melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur sokongan seperti jalan keluar dan masuk ke tapak bagi melengkapkan kebolehsampaian sistem jalan raya dan sambungan utiliti. Kerja-kerja ini akan bermula pada April 2025 dan dijangka siap pada April 2026,” katanya.
Tambah beliau, cadangan bagi pembangunan Taman RV yang telah dikenal pasti akan dilaksanakan di Pantai Hiburan kini berada di dalam fasa perbincangan.
“Pembangunan projek Caravan Park yang dibangunkan oleh Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Helmut Knaus KG Campingparks turut melibatkan kerjasama dan kolaborasi bersama ECERDC.
“Cadangan Pembangunan Taman RV tersebut yang dikenal pasti di Pantai Hiburan Rompin masih dalam fasa perbincangan.
“Pembangunan ini akan diterajui oleh konsortium tempatan, Recreation Industry Development Consortium (RIDC) yang melibatkan beberapa pelabur swasta, termasuk syarikat Helmut Knaus KG Camping Park,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yang Dilantik, YB. Tuan Mohd Fadzli Mohd Ramly pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

