Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 21 APRIL 2025 : “Jangan nak menjadikan isu ini (penguatkuasaan tanah haram) modal politik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, YB. Tuan Khaizulnizam Mohamad Zuldin.
Beliau berkata tomahan yang mengatakan Kerajaan Negeri Pahang baru sahaja memulakan operasi penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah haram di negeri ini adalah tidak benar kerana ia telah pun bermula sejak 2019 lagi.
“Dan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan hari ini bukannya hari ini saja, kalau kita tengok balik rentetan daripada 2018 sehingga hari ini hampir setiap tahun ada isu pemusnahan kebun-kebun ataupun tanah-tanah yang telah diceroboh.
“Tengok 2019 di Cameron, 2020 ada di Raub dan sebagainya saya rasa dalam tempoh ini mungkin lebih daripada 20 operasi membanteras pencerobohan haram. Bukannya hari ini saja. Ada setengah yang bercakap konon macam Kerajaan Negeri Pahang hari ini baru ini nak buat. Dia lupa ke, dia tak tengok ke siapa yang menubuhkan unit penguatkuasaan, siapa yang melaksanakan tinjauan dan sebagainya.
“Jadi kita berlaku adil kepada semua pihak. Jangan nak menjadikan ini modal politik, laba politik kepada mereka. Mereka kata yang kerajaan hari ini baru hari ini nak buat, tak betul, sebab daripada mula Yang Amat Berhormat Menteri Besar menjadi menteri besar pada 2018 agenda untuk memastikan tanah-tanah yang diceroboh ini dapat diambil tindakan telah dilaksanakan seawal 2019,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pihak pembangkang supaya berlaku adil di dalam mengeluarkan fakta berkenaan isu penguatkuasaan tanah haram yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
“Dan masa tu yang duduk sebelah sana tu (pembangkang) pun menyokong kerajaan pada hari tu. Kena berlaku adil, jangan disebabkan penguatkuasaan yang kerajaan buat hari ini, kononnya kerajaan hari ini je buat. Bukan.
“Kena bagi tahu rakyat terus yang penguatkuasaan ini Yang Amat Berhormat Menteri Besar dah buat daripada mula dia jadi menteri besar, penubuhan Unit Penguatkuasaan ini daripada mula Yang Amat Berhormat jadi menteri besar. Kena jelaskan,” katanya.
Tambah beliau, melihatkan banyak kes pendakwaan pencerobohan tanah secara haram oleh Kerajaan Negeri membuktikan ia merupakan tahap keseriusan Kerajaan Negeri dalam menangani isu ini.
“Dah terbukti banyak kes-kes yang telah dibawa ke mahkamah dan Yang Amat Berhormat Menteri Besar dah banyak kali tegaskan bukan setakat kompaun, hari ini terus dakwa ke mahkamah, dan menunjukkan begitunya serius kerajaan hari ini untuk mengatasi isu ini.
“Siapa saja perlu mematuhi undang-undang dan juga mengikut perlembagaan negara dan juga undang tubuh Negeri Pahang tak kiralah dia ahli dewankah, dia ahli politik ke, NGO ke, dan sebagainya, perlu akur dan ikut peraturan-peraturan seperti yang telah digariskan.
“Dan kita perlu bersama-sama mempertahankan kedaulatan tanah kita pada hari ini. Insya-allah saya yakin semua hari ini bercakap kita setuju dengan tindakan kerajaan hari ini, setuju dengan kerajaan ini, jadi bagi tahu yang kerajaan hari ini telah buat bukannya baru nak buat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

