Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 15 APRIL 2025 : Satu petisyen sebagai tanda sokongan kepada Kerajaan Negeri Pahang berkenaan isu pencerobohan tanah kebun durian haram telah dimulakan oleh Majlis Tindakan Sosial Negeri Pahang (MTSP).
Menurut makluman di dalam petisyen tersebut, pihak MTSP berdiri teguh bersama pihak kerajaan dalam mempertahankan hak negeri, undang-undang, dan kelestarian alam sekitar demi kepentingan jangka panjang seluruh rakyat negeri Pahang.
“Kami, rakyat yang prihatin dan cintakan kelestarian alam sekitar, ingin menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan tegas Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani isu kebun durian haram, terutamanya di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) dan hutan simpan di sekitar Raub dan daerah-daerah lain.
“Kami juga menjunjung kasih dan menyokong sepenuhnya titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang menegaskan bahawa, mana-mana peneroka yang menceroboh tanah kerajaan dan hutan simpan kekal tanpa kelulusan adalah melakukan kesalahan. Undang-undang mesti ditegakkan tanpa pilih kasih. Tiada sesiapa pun yang berada di atas undang-undang,” ujar kenyataan tersebut.
Pihak MTSP juga turut menyatakan sokongan penuh kepada Kerajaan Negeri Pahang serta institusi di Raja dalam mempertahankan kedaulatan undang-undang, maruah negeri dan kelestarian alam.
“Oleh itu, kami menyokong bahawa, sebarang bentuk penerokaan tanah secara haram tanpa kebenaran mestilah dihentikan serta-merta; tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang menceroboh tanah kerajaan dan merosakkan ekosistem.
“Kerajaan Negeri harus terus mempertahankan dasar pemuliharaan hutan dan sumber asli negeri dengan tegas dan adil; program pemutihan kebun hanya wajar ditawarkan kepada mereka yang benar-benar layak dan mematuhi syarat ditetapkan.
“Semua tindakan yang diambil mestilah berpaksikan keadilan, integriti dan demi kemaslahatan rakyat,” katanya.
Petisyen di laman sesawang selamatkantanahpahang.com ini telah mendapat hampir 300 sokongan setakat ini. -PAHANGMEDIA

