Oleh: Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 15 APRIL 2025 : Bendera Negeri Pahang Darul Makmur akan dikibarkan separuh tiang esok sebagai tanda penghormatan atas pemergian mantan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan, pengibaran bendera separuh tiang itu bagi menjunjung titah perintah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni AlMarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Menurut kenyataan itu, arahan pengibaran bendera separuh tiang berkenaan adalah sebagai tanda penghormatan kepada Allahyarham Tun Abdullah yang kembali ke rahmatullah pada malam semalam.
“Adalah dimaklumkan bahawa bendera Negeri Pahang Darul Makmur hendaklah
dikibarkan separuh tiang pada 16 April 2025 (Rabu) bagi menzahirkan penghormatan
atas kembalinya ke rahmatullah Allahyarham Tun Abdullah bin Ahmad Badawi,” katanya.
Allahyarham Tun Abdullah menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.
Jenazah telah dibawa ke kediaman beliau di Persiaran Tuanku Ja’afar untuk penghormatan terakhir di Masjid Negara hari ini sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan.
Allahyarham, yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, dikenang sebagai seorang pemimpin berjiwa lembut, berintegriti tinggi serta banyak berjasa dalam kemajuan negara sepanjang perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. -PAHANGMEDIA

