Oleh : Ain Nadhirah Basha
RAUB, 09 APRIL 2025 : Operasi penguatkuasaan yang dijalankan terhadap kebun Musang King haram Raub di Sungai Ruan melibatkan aktiviti pemusnahan pokok durian di kebun haram seluas lebih kurang 202.34 hektar.
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Encik Saifullah Muhammad Ali, pemusnahan keseluruhan kebun haram ini dijalankan bermula semalam.
“Penguatkuasaan kali ini tertumpu bagi pemusnahan durian-durian haram seluas lebih kurang 500 ekar yang mana pokok-pokok durian haram ini berumur daripada 5 tahun sehingga 20 tahun.
“Operasi penguatkuasaan bagi pemusnahan durian haram dalam daerah Raub telah dijalankan bermula pada 8 April dengan kekuatan seramai 150 orang.
“Ia melibatkan pelbagai agensi daripada Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang, Pejabat Hutan, Pejabat Tanah dan Daerah Raub, serta bantuan kawalan keselamatan daripada IPD Raub serta Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Galing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada operasi memusnahkan pokok durian di kebun haram di Sungai Ruan hari ini.
Tambah beliau, kenyataan operasi ini melanggar perintah mahkamah merupakan satu tomahan kepada Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa terlibat.
“Kawasan penguatkuasaan ini seperti yang dimaklumkan oleh pihak YB. Ahli Parlimen Raub sebagai satu kawasan yang terlibat dalam pertikaian perintah mahkamah merupakan satu tomahan kerana kawasan-kawasan tersebut telah dibuat semakan melalui Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri.
“Dan telah mengesahkan bahawa kawasan ini bukan kawasan pertikaian dan juga tidak terlibat dalam mana-mana skim pemutihan bagi mendapatkan hasil negeri.
“Jadi tindakan penguatkuasaan ini telah diangkat kepada pihak berkuasa negeri dan telah mendapat kelulusan untuk dilaksanakan tindakan penguatkuasaan secara pemusnahan keseluruhan,” katanya.

Tambah beliau, operasi penguatkuasaan yang dijalankan terhadap kebun Musang King haram di Raub adalah sebagai menjunjung titah Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah ketika bertitah demikian pada Februari lepas.
“Pada Februari 2025 yang lalu, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang telah bertitah supaya tindakan penguatkuasaan keras diambil kepada semua peneroka haram tanpa kompromi, without fear and favor.
“Dan sejurus selepas titah itu juga, pihak penguatkuasa negeri telah mengarahkan supaya penguatkuasaan ini dijalankan dan diteruskan sehingga keseluruhan kawasan tanaman durian haram Raub dapat diputihkan dan ketirisan hasil-hasil negeri ini dapat dielakkan,” katanya. -PAHANGMEDIA

