Oleh : Safiah Hanani Norhalizan & Putra Muhammad Arifhasnain Ahmad Sadini
KUANTAN, 9 APRIL 2025 : Seramai 23 kakitangan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.
Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy berkata, anugerah ini mampu mendorong persaingan sihat dalam kalangan warga PKPP untuk menunjukkan keupayaan dan memberikan perkhidmatan terbaik secara berintegriti.
“Syabas dan setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada semua 23 penerima anugerah bagi tahun 2024. Saya berharap ia dapat menggalakkan lagi anggota perkhidmatan PKPP untuk terus memberikan komitmen dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan produktiviti dan perkhidmatan yang terbaik.

“Kita perlu sentiasa berusaha untuk memastikan perkhidmatan Kerajaan kekal sebagai perkhidmatan yang relevan dan diyakini rakyat, serta menepati kehendak dan ekspektasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar penganugerahan ini dapat membangkitkan semangat dan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga PKPP untuk terus beriltizam serta menampilkan perkhidmatan terbaik kepada pihak pengurusan dan para pemegang taruh. -PAHANGMEDIA

