Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 27 MAC 2025 : Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan (MGPS) mencipta kelainan dalam penganjuran iftar tahunan kali ini apabila buat pertama kali pelajar tahun enam berpeluang berbuka puasa di padang sekolah bersama guru, berlatarbelakangkan Masjid Negeri dan bangunan-bangunan kerajaan yang menjadi mercu tanda bandar ini.
Yang Dipertua Persatuan (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Tuan Haji Khairul Anwar bin Dato’ Ahmad Nadzer, berkata inisiatif ini diambil bagi memberi pengalaman berbeza kepada pelajar, sekali gus mencipta kenangan bermakna buat mereka yang bakal meninggalkan alam persekolahan rendah.

“Hari ini kita dapat bersama guru dan pelajar di MGPS untuk iftar tahunan dan ini memang tradisi sekolah ini untuk kita adakan iftar di mana kelainan tahun ini kita berbuka di padang.
“Yang terlibat setakat ini adalah pelajar tahun enam. InsyaAllah, nanti kita akan buat Iftar Perdana melibatkan lebih ramai warga MGPS,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Tadarus Al-Quran, Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan yang diadakan di sekolah berkenaan hari ini.
Hadir sama, Guru Besar MGPS, Puan Masniz Muhamad Yusof @ Kamarudin.

Selain sesi iftar, program turut diserikan dengan Majlis Khatam Al-Quran melibatkan 30 pelajar tahun enam serta penyampaian sumbangan kepada 18 anak asnaf dan lapan anak yatim yang merupakan murid sekolah ini.
Turut disampaikan hadiah kepada dua pelajar memperoleh 9A dan lapan pelajar memperoleh 8A 1B dalam Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi tahun 2024 selain penyampaian penghargaan kepada guru KAFA kerana berjaya mencapai 100 peratus kelulusan bagi enam dari sembilan subjek UPKK.
Sementara itu, Puan Masniza merakamkan penghargaan kepada PIBG dan pihak yang menjayakan program ini, yang juga merupakan penutup kepada Program Ihya’ Ramadan peringkat sekolah.

“Saya selaku guru besar mengucapkan terima kasih kepada YDP dan juga tim Pahang Media yang telah bersama-sama dengan warga MGPS bagi menjayakan program ini yang mana juga merupakan penutup kepada program Ihya’ Ramadan peringkat sekolah.
“Saya juga berterima kasih kepada YDP yang sangat banyak menyumbang kepada pihak sekolah dari pelbagai aspek, dari segi pembangunan fizikal sekolah dan juga program yang dilaksanakan pihak sekolah yang melibatkan murid dari tahun 1 sehingga tahun 6.
“Syukur Alhamdulillah banyak menerima sumbangan pada hari ini dan terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Pahang yang melalui YDP yang banyak membantu,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

