Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 MAC 2025 : Orang ramai, khususnya rakyat Negeri Pahang, dijemput untuk memeriahkan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang dianjurkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini di Chini, Pekan.
Majlis akan berlangsung pada 2 Syawal 1446H, bertempat di Dewan Dato’ Shahbandar, Chini, Pekan dan dijangka bermula seawal jam 9.00 pagi dan akan berakhir sekitar jam 2.00 petang.
YAB Menteri Besar Pahang dalam satu hantaran di Facebooknya berkata, selain itu, satu lagi majlis rumah terbuka akan diadakan pada 5 April 2025 di Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, Lipis dan bermula sekitar 10.30 pagi.

“Dengan penuh rasa sukacita, saya menjemput seluruh rakyat di negeri Pahang untuk bersama-sama hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri yang akan diadakan di Chini dan juga di Jelai,” katanya.
Majlis rumah terbuka ini bukan sahaja menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara pemimpin negeri dan rakyat, tetapi juga sebagai kesempatan untuk berkongsi kegembiraan dalam suasana penuh kemesraan.
Pengunjung akan disajikan dengan pelbagai juadah istimewa sinonim dengan perayaan Aidilfitri serta berpeluang beramah mesra bersama pemimpin negeri ini.
Sehubungan itu, orang ramai dialu-alukan untuk hadir bagi bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri tahun ini dalam suasana muhibah dan kekeluargaan. -PAHANGMEDIA

