Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 22 MAC 2025 : Hasrat penduduk kawasan pedalaman Jelai untuk melihat anak-anak mereka mendapat pendidikan agama secara lebih teratur dan formal akhirnya direalisasikan dengan tertubuhnya Maahad Tahfiz Ar-Rushd di Kampung Tanjung Gahai, di sini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sebelum ini sebahagian anak-anak di kawasan itu hanya berpeluang mengikuti pendidikan agama secara tidak formal menerusi pengajian di pondok-pondok yang sebahagiannya tidak berdaftar.
“Di Jelai… ini satu kawasan pedalaman dan saya dapati anak-anak yang berada di Jelai kadang-kadang mereka mendapat pendidikan agama secara ‘informal’… maksudnya tidak teratur.
“Pergi ke pondok dan pondok tersebut ada yang tidak berdaftar. Saya tahulah sebab kawasan saya,” katanya kepada media selepas Majlis Perasmian MTAR dan Majlis Berbuka Puasa di sini semalam.
Majlis perasmian MTAR terbabit telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut hadir YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Kata YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy lagi, usaha menubuhkan sebuah maahad tahfiz bukan satu perkara mudah kerana ia melibatkan pelbagai keperluan termasuk penyediaan tanah, kos pembinaan, tenaga pengajar dan silibus pelajaran yang diiktiraf.
“Dan Alhamdulillah, akhirnya menjadi kenyataan kerana komitmen dan juga bantuan daripada Yayasan Pahang, Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) dan juga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana saya diberitahu maahad tahfiz ini harus mengikut peraturan-peraturan pengurusannya mesti dipatuhi.
“Saya tidak mahu sekiranya apa-apa nanti tidak mendapat kelulusan daripada bomba… tidak ada sijil layak menduduki. Saya tidak mahu perkara itu berlaku dan akhirnya semua ini diluluskan setelah semua keperluan dan peraturan dipatuhi,” ujarnya.
Tambahnya lagi, setakat ini MTAR telah memiliki seramai 57 pelajar terdiri dari pelajar lelaki dan pelajar perempuan dari sekitar daerah ini.
“Kita dah terima pengambilan lebih kurang 15 orang, kadang tak sampai, bahagikan kepada lelaki dan perempuan.
“Pengambilan pertama dan pengambilan kedua tidak ada pelajar perempuan kerana asrama perempuan belum siap ketika itu.
“Saya berterima kasih di atas keberangkatan Paduka Baginda Tuanku merasmikan MTAR pada petang ini dan majlis berbuka puasa,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

