Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 21 MAC 2025: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan merasmikan Maahad Tahfiz Ar-Rushd (MTAR) yang terletak di Kampung Tanjung Gahai, di sini.
Paduka Baginda bertitah usaha menubuhkan Maahad Tahfiz Ar-Rushd yang diasaskan oleh YAB Menteri Besar Pahang disifatkan sebagai cerminan tekad negeri ini dalam memperkasa pendidikan Islam, khususnya dalam melahirkan generasi huffaz yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing.

“Saya ingin melihat generasi muda di Pahang membesar sebagai generasi yang berilmu, berakhlak dan berdaya saing, tanpa melupakan nilai-nilai Islam yang menjadi tunjang kehidupan. Anak-anak Pahang perlu dilatih dengan ilmu moden, teknologi serta kemahiran kepimpinan.
“Tambahan, saya menyambut baik kerjasama yang terjalin antara Institut Ilmu Darul Makmur (IIDM) melalui (MUIP) dengan Mohamed bin Zayed University for Humanities (MBZUH), UAE dalam memperkukuhkan Pendidikan Islam dan tahfiz di negeri ini.
“Kerjasama strategik ini bukan sahaja memberi manfaat dalam memperkasakan kurikulum tahfiz, tetapi juga membolehkan pertukaran ilmu, latihan tenaga pengajar serta pembangunan penyelidikan Islam,” titah Paduka Baginda.
Keberangkatan Paduka Baginda ke majlis berkenaan diiringi YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Yaacob dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kembali hasratnya untuk terus memperkasakan pusat tahfiz, madrasah dan pondok dengan melaksanakan pelbagai pendekatan pendidikan yang bertujuan membawa pusat tahfiz, madrasah dan pondok ini ke arus perdana masyarakat serta menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran Islam di negeri ini.
“Saya ingin sekali lagi menasihatkan para pengetua pusat tahfiz, madrasah dan pondok supaya sentiasa bersungguh-sungguh dalam melaksanakan dasar-dasar yang telah diputuskan oleh MUIP bagi tujuan memenuhi amanat saya tersebut,” titah Baginda.
Sementara itu, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dalam ucapannya menyifatkan majlis tersebut sebagai detik bersejarah, khususnya bagi rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai.
“Sesungguhnya patik sungguh terharu dan berbangga atas kesudian Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku meluangkan masa berangkat ke Maahad Tahfiz yang cukup bermakna bagi diri patik, keluarga patik serta rakyat jelata khususnya di Kampung Tanjung Gahai ini.
“Sehingga kini, jumlah pelajar yang mengikuti pengajian di Maahad Tahfiz Ar-Rushd adalah seramai 57 orang pelajar, dengan 43 pelajar lelaki dan 14 pelajar perempuan, serta 12 orang kakitangan yang merangkumi pengurusan serta tenaga pengajar,” katanya. -PAHANGMEDIA

