Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
PUTRAJAYA, 20 MAC 2025 : PahangGo akan bekerjasama dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Pahang bagi memastikan rakyat dapat mengadaptasi penggunaan digital secara lebih meluas.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal, pihak Kementerian Komunikasi juga telah memberikan persetujuan berkenaan perancangan ini.

“Dalam pertemuan bersama Menteri Komunikasi, kita telah pun menyatakan hasrat kerjasama di antara PahangGo dengan pusat NADI bagi menghebahkan inisiatif dan pendekatan Kerajaan Negeri.
“Kalau kita lihat NADI ini dapat digunakan sepenuhnya. Di mana kerjasama ini telah dipersetujui oleh Menteri Komunikasi dan beliau telah sambut baik.
“Ini bermakna kita dah boleh atur program, dari segi penggunaan pusat NADI oleh PahangGo yang bermanfaat untuk rakyat,” katanya.

Tambah beliau terdapat tiga lokaliti tambahan pusat NADI juga telah dicadangkan yang akan di bina di Raub, Bentong, dan Bera.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Komunikasi, YB. Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Kementerian Komunikasi.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PahangGo, Encik Affendi Mohd Isa; Pengarah Negeri, Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia (MCMC) Pejabat Negeri Pahang, YBhg. Encik Shahrizal Husin; dan Pengarah Unit Komunikasi Strategik (UKS) Negeri Pahang, Encik Khairul Anwar Dato’ Ahmad Nadzer.

Sementara itu, menurut Encik Affendi, kerjasama ini dapat diterjemahkan melalui pelaksanaan program oleh NADI melalui projek PRISMA (Pahang Rural Internet Service & Multimedia Access) di kawasan orang ramai seperti dewan dan kedai.
“Untuk NADI datang ke tempat ini, mengadakan program untuk kita adakan di tempat yang ada capaian internet PRISMA yang telah kita adakan selama tiga tahun. Jadi kita nak tambahkan aktiviti di PRISMA dengan bantuan daripada NADI.
“Kita harap untuk meningkatkan modal insan, kesedaran adaptasi digital dalam kalangan rakyat terutama usahawan dalam memasarkan produk mereka,” katanya.
YB. Tuan Fadzli berkata pertemuan bersama Menteri Komunikasi turut membincangkan berkenaan kerjasama diantara pihak UKS bersama Kementerian Komunikasi khususnya melibatkan Jabatan Penerangan dan Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM).
“Saya lihat ruang ini boleh ditambah baik terutama dalam kita menyebarkan maklumat berkenaan inisiatif-inisiatif Kerajaan Perpaduan,” katanya. -PAHANGMEDIA

