Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 20 MAC 2025: Kerajaan Negeri Pahang menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) terus menzahirkan keprihatinan kepada peserta rancangan sosial kendalian agensi dengan menyalurkan suumbangan Aidilfitri berjumlah RM606,200 bagi meringankan beban menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantuan tahunan itu membabitkan tujuh rancangan sosial PKPP yang memberi manfaat kepada 866 peserta di seluruh negeri.
Katanya, bagi daerah Lipis sahaja, seramai 388 peserta dari tiga rancangan sosial iaitu Rancangan Penempatan Semula Keselamatan (RPSK) Merapoh, Jerkoh dan Peruang menerima bantuan berjumlah RM271,600.

“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada PKPP kerana dapat mengatur program pada hari ini di mana setiap peserta akan mendapat RM700 dan ini bukan yang pertama.
“Sebenarnya pihak PKPP tidak pernah gagal memberikan bantuan Aidilfitri kerana mereka menguruskan PKPP dengan begitu baik dan apabila ada lebihan, kita kembalikan kepada rakyat,” katanya selepas meyempurnakan Program Bantuan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif PKPP, YH Dato’ Suhaimi Mohd Yunus.

Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy turut berharap bantuan yang disalurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu peserta-peserta terlibat membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
“Kita bagi (sumbangan) ini bukan satu keistimewaan tetapi ini adalah apabila ada kedudukan kewangan mengizinkan. Tetapi PKPP tidak pernah gagal memberikan bantuan Aidilfitri. Kita doalah supaya tahun depan ada sedikit peningkatan,” ujarnya,
Beliau dalam pada itu turut mengumumkan tentang program Jualan Makmur Pahang akan diadakan di Lipis, Jelai dan Benta bermula esok selama dua hari dengan tawaran harga sehingga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.
“Disamping itu juga kita ada Baucar Makmur yang masih lagi diperingkat awalan dan inipun sedikit sebanyak membantu rakyat juga,” jelasnya. -PAHANGMEDIA

