Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Shahfitri Zulkifli
ROMPIN, 11 MAC 2025 : Hampir 100 peniaga direkodkan menyertai Bazar Ramadan Rahmah (BRR) di enam lokasi di negeri ini setakat ini oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim, jumlah ini juga dijangka bertambah memandangkan BBR ini akan dilaksanakan sehingga minggu hadapan.
“Buat masa ini kita ada hampir 100 peniaga di Bazar Ramadan Rahmah di enam lokasi di seluruh Negeri Pahang.
“Enam lokasi BRR di negeri ini ialah di sini, di Rompin, bazar Ramadan Muadzam Shah; di Kuantan di bazar Ramadan Mahkota Square; bazar Ramadan bandar Jerantut (Jerantut); bazar Ramadan Taman Temerloh Jaya (Temerloh); bazar Ramadan Dataran Kerayong (Bera); dan bazar Ramadan bandar Raub (Raub).
“Pelaksanaan Bazar Ramadan Rahmah ini akan berlanjutan sehingga minggu depan dan kita jangka akan ada penambahan peniaga lagi,” katanya.
Beliau berkata bazar berkonsep rahmah inj juga menyediakan menu bernilai RM5 bertujuan bagi menyediakan pilihan hidangan berbuka puasa pada harga lebih berpatutan kepada orang ramai.
“Para peniaga yang menawarkan Menu Rahmah ini akan menerima RM100 dalam bentuk e-wallet sebagai galakan. Dan di bazar Ramadan Muadzam Shah hari ini kita merekodkan sebanyak sepuluh peniaga.
“Selain itu, kita juga turut menyediakan insentif e-wallet sebanyak RM20 seorang kepada 1,000 pengunjung Bazar Ramadan Rahmah di sini hari ini.
“Setiap insentif ini untuk ditebus, dan bertujuan menggalakkan transaksi digital antara peniaga dan pengguna serta mendidik masyarakat ke arah ekonomi tanpa tunai khususnya melalui Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI),” katanya. -PAHANGMEDIA

