Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
SEREMBAN, 07 MAC 2025 : Kerajaan Negeri Pahang telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada penyanyi popular pada era 1980-an Sheqal atau Shahrin Salehuddin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Raub, bantuan ini merupakan tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang kepada nasib anak Pahang yang berada di luar Pahang.
“Saya hadir di rumah beliau di Seremban ini sebagai tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap nasib yang menimpa beliau, dah empat kali kena serangan angin ahmar, dan sekarang stage 4 sakit buah pinggang.
“Dan hari ini saya mewakili YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, saya sampaikan sumbangan Menteri Besar kepada beliau berjumlah RM5,000. Ini bagi membantu beliau untuk menjalani rawatan selanjutnya.
“Ini sebagai tanda keperihatinan Kerajaan Negeri Pahang terhadap nasib, kepayahan, yang menimpa anak-anak perantau Pahang. Anak-anak Pahang yang berada di luar Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Sheqal di Tuanku Jaafar Golf & Country Resort, Sungai Gadut yang turut dihadiri Pegawai Sekretariat Perantau Anak Pahang, Encik Syed Anas Dato’ Sri Syed Ali.
Tambah beliau, Kerajaan Negeri Pahang mewujudkan Sekretariat Anak Pahang bagi menjejaki anak-anak perantau Pahang yang memerlukan bantuan dan sokongan.
“Dan memang menjadi tanggungjawab Sekretariat Perantau Anak Pahang ini untuk menjejaki anak-anak perantau Pahang yang memerlukan sokongan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
“Dan Alhamdulillah hari ini kita dapat bersama-sama dengan Sheqal untuk menunjukkan sokongan dan kecaknaan Kerajaan Negeri terhadap nasib anak-anak rantau.
“Kepada anak-anak perantau Pahang yang berada di luar Pahang, di Lembah Klang, di mana-mana negeri di luar Pahang, yang memerlukan sokongan, bantuan, pertolongan, sumbangan, daripada Kerajaan Negeri Pahang bolehlah berurusan terus dengan sekretariat Perantau Anak Pahang melalui medium media sosial,” katanya. -PAHANGMEDIA

