KUANTAN, 6 MAC 2026 : Semua pemimpin politik dan masyarakat di pelbagai peringkat perlu memainkan peranan dalam menyatukan dan meredakan kemarahan rakyat, kata Naib Presiden UMNO, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Katanya, pemimpin juga tidak seharusnya menjadi pencetus mahupun menjadi api yang boleh menjadi punca perbalahan.
“Malah, saya berpandangan pimpinan di peringkat pusat perlu menjadi orang tengah bagi mempertemu dan mendamaikan pihak-pihak berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kontroversi membabitkan tiga orang penyampai sebuah stesen radio swasta yang didakwa mempersendakan upacara keagamaan sebuah agama bukan Islam.
“Saya bersetuju bahawa tindakan mereka merupakan satu kesalahan dan tidak sesekali mencerminkan ajaran Agama Islam.
“Tindakan yang sewajarnya harus diambil pihak berkuasa dengan niat sekadar memberi pengajaran kepada pelaku, bukan menghukum demi memberi kepuasan kepada sesetengah pihak yang lain.
“Kita tidak mahu perbalahan ini mencapai tahap di mana setiap pihak menanti satu pihak yang lain untuk melakukan kesilapan, demi untuk mengembalikan paku buah keras masing-masing,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengimbas sejarah negara, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut mengingatkan bahawa Malaysia pernah mengalami insiden perselisihan dan salah faham dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk peristiwa 13 Mei 1969.
“Mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, kerajaan terdahulu telah mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan perpaduan kaum diperkukuh di negara ini.
“Ini berlangsung dengan baik sehinggalah ketidakstabilan politik membuatkan isu perkauman dan agama mula menjadi isu terbuka diperkatakan masyarakat umum.
“Justeru, saya menyeru kepada semua pemimpin politik dan masyarakat di pelbagai peringkat, untuk memainkan peranan masing-masing dengan tujuan menyatukan dan meredakan kemarahan rakyat,” katanya lagi.
Beliau juga berkata, isu perselisihan dan perkauman berkenaan seharusnya tidak lagi berlaku di negara yang sudah mencapai 68 tahun usia kemerdekaan ini.
“Negara ini harus segera bebas daripada isu sebegini. Di usia 68 tahun, keutamaan kita adalah pencapaian negara dan rakyatnya dalam pelbagai bidang, bukan lagi pertelingkahan kaum dan agama yang tiada kesudahan,” ujarnya lagi. -PAHANGMEDIA

