Oleh : Ain Nadhirah Basha & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 05 MAC 2025 : Seorang peniaga aksesori kenderaan yang terjejas akibat kebakaran kedainya tahun lalu melahirkan rasa syukur selepas menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri Pahang.
Encik Ahmad Izzad Abdullah, 32, berkata, pada kejadian kebakaran pada Julai tahun lalu menyebabkan dia mengalami kerugian yang dianggarkan sebanyak RM150,000 termasuk kerosakan barangan jualan dan mesin.
“Memang beratlah masa tu sebab bulan 12 dapat baby, kedai terbakar, jadi sekarang ada bantuan lagi-lagi nak raya ni rasa legalah sikit yang mana tertunggak tu bolehlah tambah-tambah balik,” katanya.
Selepas kebakaran, Ahmad Izzad telah membuka semula perniagaannya pada Ogos lalu di kedai baharu berhadapan kedai yang terbakar dengan menggunakan wang simpanan sendiri dan bantuan daripada keluarga.
“Kita terpaksa jugalah buka kedai nombor plat juga, sebab tu je satu-satunya sumber pendapatan saya dan abang saya. Jadi bila dah ada balik kedai nombor plat (baharu), kita sangkut dengan hutang, hutang supplier yang banyak juga masa tu.
“Terima kasih Kerajaan Negeri kerana membantu saya sebab tulah satu-satunya pendapatan saya sebagai peniaga, isteri tak kerja, jadi nilai ni cukup membantu membayar yang tertunggak untuk kita bangkit semula,”katanya.

Seorang lagi penerima, Puan Zubaidah Mahmood, 62, turut melahirkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga di atas pemberian sumbangan Kerajaan Negeri Pahang bagi membantunya membaikpulih kedai makanan yang rosak akibat dilanda ribut pada Jun lepas.
“Saya meniaga air balang dan mee sup dah sepuluh tahun dah. Saya pasang kanopi untuk berniaga, masa ribut tu kanopi saya habis kena terbangkan oleh angin.
“Bantuan ini untuk baik pulih semula (gerai). Alhamdullilah bersyukur sangat, terima kasih sangat kepada Kerajaan Negeri,” katanya yang berniaga di Bandar Putra.

Sementara itu, menurut Pengerusi Badan Khairat Kematian Masjid Pandan 2, Encik Mohd Sharifuddin Mohd Nasir bantuan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM36,000 ini dapat memberi manfaat bagi memperbesarkan kawasan tanah perkuburan Masjid Pandan 2 yang telah pun penuh.
“Kalau sekarang ni kawasan kubur kita memang dah tak muat, kita ada yang dah guna (tanah) lebih kurang 3 ekar, dan yang lebihnya ada 15 ekar lagi yang belum di tambun. Kita tambun ni secara berperingkat dan untuk duit sumbangan ini kita tambun tanah lebih kurang 2 ekar.
“Dengan tanah kubur yang baharu ini nanti kita dapat muatkan dalam 4,000 ke 5,000 kubur dan sekarang kita cuma muat 1,000 lebih sahaja.
“Terima kasih Kerajaan Negeri, saya rasa bersyukur kerana sumbangan yang diberikan ini dapat membantu badan khairat untuk menjalankan projek memperbesarkan lagi tanah perkuburan untuk penduduk sekitar Pandan,” katanya.

Menurut Puan Siti Jamaliah Samiran, 40, dari Bukit Rangin, beliau meluahkan rasa syukur dan gembira atas bantuan modal perniagaan daripada Kerajaan Negeri untuk menjalankan perniagaan manisan dan kerepek yang telah diusahakan sejak tiga tahun lepas.
Penyampaian cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang sebanyak RM759,682 kepada 36 penerima pelbagai kategori ini telah diberikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS). -PAHANGMEDIA

