Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
LIPIS, 28 FEBRUARI 2025 : SK Kuala Koyan dipilih sebagai sekolah Orang Asli pertama menerima inisiatif Program Makanan Kesihatan (PROMAK) dibawah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, program ini dapat membantu pelajar sekolah mendapat makanan yang seimbang dan berkhasiat.
“Saya ucapkan terima kasih kepada BERNAS kerana dapat berkolaborasi begini untuk anak-anak kita yang sedang bersekolah dan ini adalah satu pemberian yang sangat baik dari segi tambahan makanan berzat.
“Dan saya percaya ini dapat menyumbang kepada kecerdasan anak-anak kita. Dan ini adalah sekolah keempat di negeri Pahang sebelum ini di SK Pontian, SK Janglau, SK Rompin, dan di sini SK Kuala Koyan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Makanan Kesihatan (PROMAK) Peringkat Negeri Pahang di SK Kuala Koyan.

Turut hadir, YB. Speaker Dewan Undangan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsudin; dan Pengerusi BERNAS, YBhg. Dato Sri Rohani Abdul Karim.
Beliau berkata program seperti ini juga dalam masa yang sama dapat meringankan beban dari segi kewangan kepada keluarga yang terlibat.
“Kalau sekiranya pagi itu mereka terpaksa mengeluarkan wang bagi belanja anak-anak maknanya mereka dah boleh jimat.
“Dan sudah pasti ia dapat membantu dari segi kehadiran pelajar Orang Asli di mana tadi saya dimaklumkan ada peningkatan sebab ada faktor penarik bila ada makanan percuma hari-hari,” katanya.
Projek PROMAK yang memberi makanan tengah hari secara percuma kepada pelajar sekolah sejak Oktober tahun lepas telah memberi manfaat kepada lebih 1,500 pelajar termasuk Orang Asli.
PROMAK yang diperkenalkan sejak Januari 2022 merupakan satu program kerjasama strategik di antara sektor korporat dan agensi Kerajaan di mana BERNAS bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia
(KKM) bagi menggerakkan agenda nasional dalam menangani isu malnutrisi di kalangan murid sekolah rendah di negara ini. -PAHANGMEDIA

