Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 28 FEBRUARI 2025 : Saya suka makan di sekolah. Makanan sedap dan mengenyangkan,” kongsi Denish Darwis,12, yang merupakan murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Koyan yang menerima manfaat Program Makanan Kesihatan (PROMAK).
Denis berkata makanan yang diberikan di bawah program dibawah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) ini sangat membantu murid di sekolah berkenaan.
“Makanan yang diberikan mengenyangkan dan sangat membantu kami setiap hari di sekolah. Setiap hari makan makanan sedap, paling sedap bila makan nasi ayam,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang lagi penerima manfaat program ini, Marsyela Miranda Akira, 12, dia merasa gembira kerana terpilih untuk menjadi penerima.
“Saya seronok dapat makan sedap, kalau boleh program ini selalu ada sebab sangat membantu kami,” kongsinya yang bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis.

Bagi Guru Besar SK Kuala Koyan, Encik Azhar Teh, program ini merupakan salah satu inisiatif yang dapat menarik minat murid Orang Asli di sekolah ini untuk hadir ke sekolah setiap hari.
“Penyediaan makanan tengah hari ini merupakan inisiatif yang sangat baik bagi menarik minat murid Orang Asli untuk hadir ke sekolah setiap hari.
“Langkah proaktif BERNAS melalui program ini juga mampu meningkatkan kesedaran di kalangan ibu bapa dan murid-murid akan pentingnya pemakanan yang seimbang sebelum berlaku kesan yang lebih buruk akibat masalah malnutrisi,” katanya.
Tambah beliau lagi, beberapa kajian menunjukkan bahawa sehingga 80 peratus kanak-kanak Orang Asli mengalami masalah malnutrisi atau kebantutan pada usia persekolahan dan bantuan ini dapat membantu menyelesaikan masalah ini.
SK Kuala Koyan dipilih sebagai sekolah Orang Asli pertama menerima inisiatif Program Makanan Kesihatan (PROMAK) dibawah Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Majlis Pelancaran Program Makanan Kesihatan (PROMAK) Peringkat Negeri Pahang di SK Kuala Koyan telah dilancarkan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail. -PAHANGMEDIA

