Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 28 FEBRUARI 2025 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah semua pihak perlu menghormati proses undang-undang berkaitan Titah Adendum.
Paduka Baginda menegaskan ini bagi menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan.
“Dalam soal Titah Adendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah dalam titah baginda turut mengingatkan semua pihak untuk sentiasa bersangka baik dan tidak terlalu cepat menilai seseorang atau perkara dengan sikap negatif.
“Sebaliknya berikanlah ruang untuk memahami dan mencari penyelesaian secara bijaksana. Kerajaan juga harus menyantuni dan prihatin terhadap rakyat.
“Kepimpinan yang baik adalah kepimpinan yang mendengar denyut nadi suara rakyat, memahami keperluan mereka, dan bertindak dengan penuh kasih sayang serta tanggungjawab,” titah baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian pada Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan.
Turut bercemar duli, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Haji Zulkifli Haji Yaacob; YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Dato’ Sri Saiful Edris Zainuddin; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan. -PAHANGMEDIA

