Oleh : Norhafizan Zulkifli & Safiah Hanani Norhalizan
KUANTAN, 3 FEBRUARI 2025 : Kerajaan Negeri Pahang memandang serius berkaitan keadaan infrastruktur di Kawasan Industri Gebeng, di sini.
Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, ini kerana kawasan industri Gebeng merupakan nadi pertumbuhan ekonomi bagi Negeri Pahang.
“Kawasan industri Gebeng amat penting dan perlu dijaga sebaiknya supaya industri yang sedia ada berpuas hati menjalankan perniagaan di sini, menguruskan kilang dan sebagainya dengan selesa.
“Dan jika kita berjaya berbuat demikian (menjaga infratsruktur), saya yakin kita boleh menarik banyak lagi industri ke dalam kawasan industri Gebeng ini sebab mereka ini akan ceritakan perkara yang baik sekiranya kita berjaya mengatasi masalah mereka. Itu hasratnya.

“Sebab industri besar tertumpu di sini dan kita anggap ini keutamaan Kerajaan Negeri supaya kita dapat teruskan agenda pelaburan dan terus melonjakkan ekonomi negeri Pahang,” katanya selepas melakukan lawatan kerja di sekitar Kawasan Perindustrian Gebeng.
Lawatan berkenaan turut disertai Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim dan turut disertai kumpulan Gebeng Industrial Support Group (GISG) dan jabatan kerajaan seperti Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Koridor Utiliti Pahang.
YB. Dato’ Mohamad Nizar berkata lebih 10 kawasan panas dikenalpasti mempunyai masalah infrastruktur seperti jalan rosak, tiada lampu jalan selain gangguan anjing liar dan peniaga di tepi jalan.
“Semua agensi yang ada sudah melihat sendiri dan mereka tahu apa yang perlu dibuat untuk mengatasi masalah yang ada. Mungkin ada masalah tidak dapat selesaikan segera kerana melibatkan peruntukan yang besar, walau bagaimanapun kita dah ambil langkah yang penting iaitu mengenaplasti apa masalah sebenarnya dan kaedah untuk selesaikannya akan menyusul,” katanya lagi.

YB. Dato’ Ir. Razali pula berkata, Kerajaan Negeri akan mengambil perhatian terhadap aduan yang diterima berkaitan infrastruktur yang kurang memuaskan.
“InsyaAllah perkara ini kita akan ambil perhatian dan kita juga akan minta perhatian pihak MBK dan juga JKR sebab ada jalan yang diselenggara di bawah JKR dan ada juga yang diselenggara di bawah MBK.
“Jangka pendek, kita akan menurap balik jalan yang pecah ini dan untuk jangka panjang kita mungkin akan gunakan kaedah CIPR (Cold In Place Recyclin) yang lebih kukuhkan lagi struktur jalan cuma kosnya agak tinggi, berkali ganda.
“Kita tahu kawasan ini dilalui kenderaan berat, jadi ada sebahagian tempat kita akan gunakan kaedah CIPR sebab itu kita minta pihak MBK melihat kawasan-kawasan lembut jadi kita akan gunakan kaedah itu,” ujarnya.-PAHANGMEDIA

