Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 03 FEBRUARI 2025 : Penganjuran Laman Raudah merupakan satu platform mengimarahkan dan mendekatkan masyarakat dengan institusi keagamaan.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan, Laman Raudah dibawah Pasar Sera ini merupakan satu inisiatif yang baik dan perlu diperluaskan lagi.
“Kolaborasi Pasar Sera dengan Masjid Tepian Putra ini alhamdulillah pengunjung memang menggalakkan, dan saya rasa ia satu inisiatif yang sangat baik.

“Nak memeriahkan lagi orang datang ke masjid, sambil berniaga, sambil beribadah. Kita juga difahamkan ada kelas agama, dan program Subuh seperti Jumaat sempena pasar ini.
“Mungkin nanti akan ada kolaborasi dengan masjid-masjid lain. Dan insyaAllah akan berterusan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Laman Raudah @ Pasar Sera di pekarangan Masjid Tepian Putra di sini semalam.
Beliau berkata konsep yang julung kali diadakan ini juga sedikit sebanyak dapat menarik minat golongan muda terutamanya untuk mendekatkan diri dengan institusi keagamaan.
Pasar yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas turut menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung yang mana memberikan hadiah pakej umrah bernilai hampir RM9,000 kepada pemenang.
-PAHANGMEDIA

