Oleh : Ain Nadhirah Basha
BERA, 24 JANUARI 2025 : Orang ramai diingatkan untuk memberi keutamaan dari segi keselamatan pada perayaan Tahun Baru Cina (TBC) 2025 terutamanya melibatkan pengguna jalan raya dan kediaman yang ditinggalkan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Pahang, DCP Dato’ Noor Hisam Nordin, pihaknya juga akan membantu dari segi kawalan keselamatan pada musim perayaan selari dengan kempen pada kali ini iaitu Rumah Selamat, Selamat Sampai.
“Kempen yang akan dilaksanakan ini tidak lain dan tidak bukan adalah bertujuan untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam bukan sahaja di jalan raya sewaktu musim perayaan Tahun Baru Cina yang akan menjelang tiba, tetapi juga melibatkan rumah-rumah yang bakal ditinggalkan pengguna untuk pulang bercuti di kampung.
“Perayaan Tahun Baru Cina pada kali ini yang jatuh di dalam musim cuti sekolah menyebabkan ramai yang akan pulang ke kampung halaman untuk menyambut perayaan di samping bercuti bersama keluarga tersayang.
“PDRM Pahang telah merangka dan akan melaksanakan pelbagai kempen serta inisiatif untuk mengingatkan pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati dan mengikut peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya kejadian yang tidak diingini di dalam kempen sempena musim perayaan kali ini,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan rondaan di kawasan hitam kemalangan selain menggunakan kanopi di kawasan rehat dan rawat sebagai pertemuan petugas trafik dan agensi lain bagi mengekang jumlah kemalangan jalan raya.

“Kita akan menetapkan kehadiran polis atau omnipresence melalui konsep ronda dan static di lokasi-lokasi black spot iaitu kawasan yang kerap berlaku kemalangan. Selain itu, pendekatan menggunakan kanopi di R&R serta Lay-By sebagai tempat pertemuan petugas-petugas polis trafik bersama lain-lain agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan diharap mampu meningkatkan usaha mengurangkan kemalangan di dalam jalinan kerjasama yang kukuh di antara semua jabatan yang terlibat.
“PDRM Pahang turut memfokuskan kepada usaha mencegah jenayah pecah rumah ketika musim perayaan. Untuk itu, Jabatan yang terlibat seperti JSJ dan JPJKK telah mengatur gerak penugasan dari segi rondaan pencegahan jenayah, risikan, operasi dan pemantauan secara berjadual di kawasan kediaman termasuk juga premis perniagaan. Dalam usaha menjayakan operasi ini, kerjasama masyarakat terutamanya bantuan rondaan dari Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) dan Skim Rondaan Sukarela (SRS) menjadi tunjang utama untuk memainkan peranan khasnya dalam elemen pencegahan jenayah di kawasn setempat selain dapat memaklumkan langkah-langkah keselamatan sebelum meninggalkan rumah kepada kejiranan terbabit.
“Masyarakat seharusnya peka dan memaklumkan perancangan cuti kepada pihak polis dengan mengisi Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh didapati di balai polis berhampiran atau muat turun melalui Portas Rasmi PDRM atau menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP),” katanya.
Tambah beliau, bagi OP Selamat pada tahun lepas, Kontinjen Pahang merekodkan 364 kemalangan dengan 5 kes kemalangan maut dicatatkan, selain 11,770 saman telah dikeluarkan bagi pelbagai jenis kesalahan terutamanya kesalahan mandatory seperti memotong di garisan berkembar dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.
Sementara itu, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berharap kesedaran masyarakat terhadap keselamtan jalan raya dan harta benda ini dapat disebarluaskan lagi.
YB. Puan Leong Yu Man turut beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung pasaraya selepas merasmikan Kempen Rumah Selamat, Selamat Sampai Sempena Tahun Baru Cina 2025 di Pasaraya Econsave Triang hari ini. -PAHANGMEDIA

