Oleh : Ain Nadhirah Basha & Safiah Hanani Norhalizan
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 13 JANUARI 2025 : Hampir 4,500 penduduk Kampung Tengah dan Kampung Baru akan terjejas dengan penutupan jalan secara berperingkat di laluan hampir satu kilometer di Jalan Kampung Tengah bermula esok.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, penutupan ini disebabkan kerja-kerja bagi projek loji rawatan kumbahan serantau dan rangkaian paip pembentungan di laluan tersebut.
“Ia akan melibatkan penutupan sebelah jalan di Jalan Kampung Tengah untuk sembilan pin point dan akan bermula esok. Penutupan jalan ini juga mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan.

“Saya meminta semua penduduk di Kampung Tengah dan pengguna laluan ini untuk bersabar dengan kawasan yang akan terlibat dengan projek ini kerana kira-kira 4,500 penduduk di Kampung Tengah dan Kampung Baru akan terjejas,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan memastikan pihak kontraktor untuk menjaga keselamatan pengguna laluan tersebut terutamanya pada waktu malam dengan memasang lampu bagi mengelakkan daripada berlaku kemalangan.
Sementara itu, menurut Pengarah Iswarabena Sdn. Bhd., Encik Ir. Ts. Abd Rahman Yasir berkata pihaknya akan mengeluarkan pemberitahuan berkenaan penutupan jalan secara berperingkat melalui papan tanda.

“Projek ini dijalankan secara berperingkat melibatkan dua pasukan. Pasukan pertama akan bermula di Jalan Darat Makbar dan pasukan kedua bulatan Taman Teruntum.
“Kita akan tutup secara berperingkat untuk pastikan pengguna laluan berkenaan dapat menggunakan lencongan yang diberikan.
“Dan kita akan pasang signboard, signage, dan banner untuk makluman pengguna laluan berkenaan,” katanya.
Projek Paip Pembetungan dan Lurang Atas Permukaan Jalan Berturap Jalan Kampong Tengah, Lorong Seri Teruntum 136 (Seksyen 6) ini merupakan sebahagian jajaran projek sepanjang 20 kilometer yang bermula dari Indera Mahkota 2 sehingga Jalan Kampung Tengah.
Projek yang bermula pada 1 Ogos 2022 ini telah berjaya menyiapkan 14 kilometer jajaran projek dan bakinya dijangka dapat disiapka pada penghujung November tahun hadapan. -PAHANGMEDIA

