Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 28 DISEMBER 2024 : Seramai 150 perwakilan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dari seluruh negara hadir ke Mesyuarat Persidangan Agung Tahunan GPMS Kali ke-70 yang diadakan di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UNIPSAS), di sini.
Mesyuarat yang diadakan selama tiga hari iaitu bermula 27 Disember sehingga 29 Disember itu disempurnakan acara perasmiannya hari ini oleh Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Encik Muhammad Kamil Abdul Munim.
Encik Muhammad Kamil dalam ucapannya berkata, barisan pimpinan muda diingatkan untuk mencipta satu pendekatan dan budaya yang lebih harmoni.
“Pimpinan muda itu sifatnya lebih cair dan sepatutnya tidak terikat dengan perselisihan atau pertelingkahan pimpinan lama yang kita ini akhirnya mengambil satu sikap atau pendekatan yang lebih lunak berbanding pemimpin senior.
“Pada akhirnya saudara dan saudari, kelompok inilah yang akan mengambil alih dan mewarnai kepimpinan negara.
“Jadi berbeza bagaimanapun, kita uruskan sesuatu perkara itu dengan hikmah dan nasihat yang baik, berhujah dengan adab tatasusila yang baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Persidangan Agung Tahunan GPMS Kali ke-70 di sini hari ini.
Majlis terbabit turut dihadiri President Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Saharuddin Ahmad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UNIPSAS, Prof. Madya Dr. Ahmad Effat Mokhtar, Eksekutif Pentadbiran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Jnuversiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Encik Khairul Imran Ruslan dan Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia Jabatan Belia dan Sukan Negeri Pahang, Encik Shafrol Kadir.
Encik Muhammad Kamil Juga berkata, dalam sesebuah negara yang demokratik tidak harus menyekat kecenderungan kepercayaan, dan padangan seseorang.
“Namun saudara dan saudari sekalian harus ingat bahawa kecenderungan itu harus didasari dengan kefahaman… dengan ilmu, bukan ikut-ikutan, tidak taqlil dan secara membuta tuli.
“Kita harus faham dan tahu bahawa apa keputusan yang kita lakukan ini akan memberi kesan kepada pentadbiran dan juga negara.
“Jadi keputusan dan tanggungjawab kita harus dilaksanakan lebih berhati-hati dan berpandukan kepada pemikiran yang waras dan jelas,” katanya. -PAHANGMEDIA

