Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
PEKAN, 27 DISEMBER 2024 : Seorang ibu tunggal, Puan Aishah Riffin, 44, berasa sangat terharu dan sebak apabila menerima rumah bertiang Bantuan Asnaf MUIP 2024 yang menelan belanja RM140,000.
Menurut Puan Aishah, dia bersama dua anaknya yang berusia 13 dan 8 tahun kini dapat hidup selesa apabila memiliki kediaman sendiri di Kampung Acheh, Pekan.
Dia yang bekerja sebagai pembantu kedai makan, sebelum ini menumpang di atas tanah bapa saudaranya juga di kampung sama, kini mampu menarik nafas lega apabila akhirnya memiliki rumah sendiri meskipun tapak rumahnya berada di lokasi berisiko banjir.
“Saya bersyukurlah sangat sebab rumah lama pun uzur dan banyak kerosakan, anak-anak pun dapat membesar dalam rumah yang lebih selesa dan selamat,” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Mohd Arif Mohammad, 76, juga sangat terharu menerima rumah baharu sumbangan MUIP selepas rumahnya musnah dalam kebakaran pada Oktober tahun lalu.
Dia yang pernah bekerja sebagai posmen, hanya menumpang di rumah saudara bersebelahan rumahnya yang terbakar sementara menanti rumah baharu siap dibina.
“Rumah ini siap pada Ogos tahun ini dan saya mula berpindah, mulanya rumah baru hendak dibina di tapak asal tapi saya bagitahu tapak itu selalu banjir, tiap-tiap tahun habis rosak tikar getah sebab tepi parit tu rendah (tanah), jadi saya minta agar tapak rumah baru dipindahkan ke kawasan berhampiran.
“Saya sangat bersyukur sebab tak pernah duduk rumah batu dan sekarang dapat rumah batu, Ya Allah, Alhamdulillah syukur sebab selesa sangat,” katanya.
Dia yang kini hanya mengusahakan kerja-kerja kampung bagi menyara kehidupan sangat berterima kasih kepada MUIP yang memberikan rumah selesa dan selamat.
MUIP telah memperuntukkan sebanyak RM1.98 juta bagi daerah Pekan untuk membina baru 22 rumah asnaf manakala RM2.17 juta pula bagi melaksanakan kerja-kerja membaikpulih dan selenggara 75 rumah asnaf dengan jumlah keseluruhan RM4.14 juta. -PAHANGMEDIA