Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 20 DISEMBER 2024: Bentong mencatatkan kehadiran pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberangsangkan sejak ia bermula pada 2 Disember lalu.
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bentong, hanya 12 pelajar sahaja yang dikenalpasti tidak hadir menduduki SPM tahun ini.
Katanya, ia merupakan satu perkembangan positif hasil dari usaha pihak PPD, guru dan ibu bapa dalam menggalakkan pelajar untuk menduduk SPM tahun ini.

“Alhamdulillah, apabila diberi taklimat dari PPD, hanya 12 pelajar sahaja yang tidak hadir. Bentong merupakan antara daerah yang mencatatkan pencapaian tertinggi kehadiran pelajar yang menduduki SPM pada tahun ini setakat ini.
“Ini satu berita yang menggembirakan sedikit… tanda positif itu berada di Bentong dan ianya mungkin hasil dari pihak PPD dan rakan cikgu serta ibu bapa yang menggalakkan perkara ini.
“Yang 12 pelajar itu, pihak PPD sudah kenalpasti untuk berjumpa dengan pelajar ini untuk mengetahaui masalah mereka dan kita cuba selesaikan. Kalau boleh sasaran kita 100 peratus (kehadiran) pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian setelah selesai menyempurnakan Majlis Penyampaian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster SPM dan STPM daerah Bentong bertempat di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Simpang Pelangai, di sini semalam.
Turut hadir, Pegawai Daerah Bentong, YB. Dato’ Mohammad Shahid Ismail dan Pegawai Pendidikan Daerah Bentong, Encik Hanifah Hj. Veerankutty.
Dalam program anjuran bersama Yayasan Pahang itu, seramai 146 pelajar dari empat buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai menerima bantuan berkenaan.
YB. Dato’ Amizar juga memberitahu, selain menyampaikan sumbangan, turut diadakan solat hajat, bacaan yasin dan ceramah agama bersempena majlis berkenaan.
“Ini adalah antara usaha-usaha murni di antara ibu bapa dan juga rakan-rakan yang datang pada hari ini. Tidak lain dan tidak bukan, ingin mendoakan agar semua pelajar dapat menduduki peperiksaan dengan jiwa tenang, menjawab seluruh kertas soalan dengan sempurna dan inshaAllah mereka akan diberikan keputusan yang cemerlang,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

