Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 19 DISEMBER 2024 : Majlis Biodiversiti Pahang (MBP) menganjurkan Bengkel Pemantapan Pengurusan Kajian Penyelidikan Biodiversiti Negeri Pahang bagi meneliti prosedur sedia ada.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ia juga bertujuan mencadangkan penambahbaikan bagi permohonan menjalankan kajian penyelidikan dan penggunaan berterusan sumber biologi dan biodiversiti di Pahang yang dapat menjadi rujukan semua pihak terlibat terutama di kalangan penyelidik tempatan dan luar negara.
“Penganjuran bengkel ini akan melibatkan kerjasama Jabatan dan Agensi Kerajaan, Swasta, Ahli Akademik yang mempunyai kepakaran dalam bidang biodiversiti selain penglibatan penyelidik yang dikenalpasti supaya usaha Kerajaan Negeri dalam memastikan pengurusan akses kepada sumber-sumber
biologi negeri dapat dikawal selia dengan efektif selaras dengan perundangan yang berkuat kuasa.
“Kerajaan Negeri akan sentiasa memastikan usaha-usaha murni seperti ini dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan tadbir urus terpelihara di samping mengukuhkan agenda memelihara sumber biologi dan biodiversiti yang merupakan khazanah negeri yang sangat berharga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, hari ini.
MBP telah ditubuhkan pada tahun 2022 yang bertindak menyelaras aktiviti-aktiviti melibatkan pemeliharaan, penyidikan dan penggunaan berterusan sumber-sumber biologi dan biodiversiti.
Di Pahang, MBP berperanan sebagai Pihak Berkuasa Kompeten (CA) yang bertanggungjawab dalam pengurusan Akses dan Perkongsian Faedah.
MBP telah membuat penilaian terhadap 81 permohonan kajian yang diterima melalui Sistem Access and Benefit-sharing Clearing-house (MyABS-Malaysia) yang telah dibangunkan oleh NRES. – PAHANGMEDIA

