Oleh : Fansurina Abdullah
KUANTAN, 15 DISEMBER 2024 : Program Retreat Pemimpin Muda Pahang (PYLR) 2024 anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang dapat menyerlahkan potensi diri dan keyakinan di kalangan pemimpin muda Negeri Pahang.
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Belia JBS Negeri Pahang, Encik Shafrul Haji Kadir berkata, penganjuran PYLR ini bertujuan melahirkan pelapis-pelapis pemimpin yang berkaliber dan mempunyai potensi, pendidikan dan memiliki daya kepimpinan lebih unggul.

“Kita nampak potensi-potensi tertentu di kalangan peserta yang hadir ini untuk diketengahkan supaya hasrat utama kita tidak mahu ketandusan pemimpin, pelapis pemimpin dan di sini Alhamdulilah kita ada pelapis pemimpin yang baik, yang boleh diketengahkan pada masa akan datang insyaa-Allah Pahang akan jadi lebih hebat,” katanya.
Menurut Presiden Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Encik Saharuddin Ahmad pula, idea pelaksanaan PYLR oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal disifatkan sebagai “luar daripada kotak” yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, pelaksanaan program bagi belia Pahang sebelum ini adalah mengikut acuan pemimpin semasa namun pada kali ini PYLR melibatkan pemimpin muda di kalangan belia sendiri untuk menyatakan hasrat dan keperluan mereka kepada Kerajaan Negeri.
“Sebelum ini kita daripada atas ke bawah (pelaksanaan), yang ini kita ambil input daripada bawah yang kita buat pelaksanaan di peringkat atas, saya rasa menda itu insyaaAllah sesuatu yang akan berjaya, kita lihat input yang dah ada ini kita dah boleh ambil daripada ‘grass root’ punya input cuma kita nak lihat selepas ini macam mana ‘adjustment’ dari segi pelaksanaan input-input yang kita dapat sepanjang empat hari dalam retreat kali ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM), Encik Izad Zainal Muhammad Saffian pula berpendapat PYLR ini sangat bagus untuk mendidik golongan belia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang kerjaya daripada peringkat profesional, penjawat awam hinggalah kepada usahawan.

“Program ini sangat bagus untuk mendidik golongan belia yang mana kita lihat peserta program ini dia bercampur dari segi belia itu sendiri, pegawai kerajaan, golongan profesional, usahawan dan kita tengok input dia tu bagus lah kita boleh bertukar pandangan dan saya harap idea-idea yang telah diberikan dapat dilaksanakan pada masa akan datang,” katanya.
Program PYLR yang berlangsung selama empat hari bermula Khamis lepas melibatkan seramai 80 peserta di kalangan belia Negeri Pahang berlatarbelakangkan pelbagai kerjaya dan lapisan.
PYLR anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang bersama Pahang Corporation Management Services (PCMS) ini turut menampilkan penceramah dan fasilitator di kalangan pemimpin muda yang hebat serta berpengalaman dan memberikan perkongsian kepada peserta. -PAHANGMEDIA

