Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 12 DISEMBER 2024 : Karnival Kerjaya Wanita yang julung kali diadakan di negeri ini menjadi platform kepada wanita untuk membina rangkaian, menimba ilmu, dan memperkukuh keyakinan bagi menghadapi cabaran kerjaya pada masa hadapan.
Menurut Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Hajah Sabariah Saidan, inisiatif yang khusus diadakan bagi kaum wanita di Pahang ini memperkasakan kemahiran dalam ekonomi digital.
“Dengan perkembangan teknologi, keperluan peluang kerjaya wanita masa depan juga berubah.Kemahiran dalam ekonomi digital, pemasaran dalam talian, dan keusahawanan berbasis teknologi kini menjadi semakin relevan. Karnival ini memberi platform kepada wanita untuk memahami dan mempersiapkan diri bagi cabaran ini.
“Tambahan pula, kita berada dalam era digitalisasi yang membuka peluang luas kepada wanita untuk mengembangkan kerjaya mereka melalui platform digital seperti e-dagang, freelancing, dan media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Wanita Pahang 2024 di Dewan Orkid, BCIC Lounge, Kompleks Dagangan Mahkota.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) PKNP, YBhg. Datin Noraskin Jamaludin, merangkap Ketua Kluster Pekerjaan, Dasar & Pelan Tindakan Wanita Pahang; Timbalan Pengerusi, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Maznah Mazlan; Pengarah Pertubuhan Keselamatan
Sosial (PERKESO) Negeri Pahang, YBrs, Encik Hisham bin Abdul Rahman; dan Ketua Unit, Unit Pembangunan Wanita dan Sosial Negeri Pahang, YBrs. Puan Mazlina Mohamad Lazim.
Beliau berkata program ini juga diharap akan dijalankan setiap tahun bagi memastikan peluang kerjaya kaum wanita terus dibangunkan dan diperkasa.
“Oleh itu, saya menyeru semua wanita agar sentiasa peka terhadap perkembangan teknologi dan memanfaatkan sepenuhnya peluang ini.
“Saya dimaklumkan karnival ini bukan sahaja menyediakan peluang pekerjaan melalui 16 syarikat besar yang turut serta, tetapi juga menampilkan aktiviti menarik dan berfaedah.
“Saya berharap Karnival Kerjaya Wanita Pahang ini dapat menjadi pencetus perubahan positif kepada wanita di negeri ini. Semoga ia dapat melahirkan generasi wanita yang lebih yakin, berdaya saing, dan mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan keluarga, masyarakat, dan ekonomi negeri,” katanya. -PAHANGMEDIA

