Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 09 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang melalui UCYP University telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) bersama International Islamic University Malaysia (IIUM) bagi meningkatkan keterjaminan makanan di kalangan mahasiswa.
Majlis menandatangani memorandum ini disempurnakan oleh Naib Canselor UCYP University, YH. Profesor Dato’ Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain bersama Rektor International Islamic University Malaysia (IIUM), YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar.
Perjanjian berkenaan telah disaksikan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim; dan Pengerusi Lembaga Pengelola UCYP University, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Prof. Dr. Noorul Ainur Mohd Nur di Auditorium Kampus Utama UCYP University.
Perjanjian kerjasama ini bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama kedua-dua institusi dalam bidang pendidikan tinggi melalui program akademik, penyelidikan, dan projek komuniti selain membangunkan Pahang Food Security Project (PAFOS).
Projek PAFOS memberi tumpuan untuk meningkatkan keterjaminan makanan di kalangan mahasiswa berpendapatan rendah dan membantu mahasiswa dari aspek pemakanan serta menyediakan peluang perniagaan terutamanya kepada penjaja makanan sekitar universiti.
Kerjasama ini juga melibatkan pembangunan aplikasi e-kupon makanan yang akan memantau status pemakanan mahasiswa dengan lebih cekap dan diharap dapat menjadi model inovasi baharu dalam menangani isu sekuriti makanan di institusi pendidikan tinggi.
Melalui sokongan dana sebanyak RM107,900 daripada Kerajaan Negeri Pahang, UCYP University akan membangunkan aplikasi i-Secure untuk pengurusan bantuan makanan secara sistematik.
Seramai 124 pelajar IIUM telah menggunakan aplikasi ini selama tiga minggu manakala seramai 160 pelajar UCYP telah menggunakannya sejak enam minggu lepas. -PAHANGMEDIA

