Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 06 DISEMBER 2024 : Kerajaan Pahang akan memberikan peruntukan tambahan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini termasuk kepada pihak pembangkang mulai tahun hadapan.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Kewangan Negeri untuk peruntukan tambahan ini.
“Saya telah mengadakan perbincangan dengan Pegawai Kewangan Negeri. Pada dasarnya Pegawai Kewangan Negeri ada bagi penambahan kepada semua Exco, ahli-ahli yang berhormat dan pembangkang.
“Cuma nilainya belum diputuskan lagi. Nilainya tidak akan sama dengan kerajaan, nama pun pembangkang. Sebelum ni mereka (pembangkang) dah dapat peruntukan sekarang ni kita nak tambah lagi. Ada tambahan sebab itu bergantung kepada kewangan negeri. Tahun depan kita akan mula bagi peruntukan ini,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana peruntukan tambahan ini merupakan duit Kerajaan Negeri dan ia perlu mengikut peraturan serta kaedah tertentu sebelum diagihkan.
“Ada kaedah dia. Akan bincang dengan Pegawai Kewangan Negeri. Ini duit kerajaan, kita kena bagi kena ada peraturan dia, kaedah-kaedah tertentu, cara nak bagi macam mana,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penangguhan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Beliau ketika sesi ucapan penangguhan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang berkata peruntukan tambahan ini untuk dikembalikan kepada rakyat.
“Saya baru bincang dengan YB Pegawai Kewangan Negeri, dan memang ada penambahan untuk pembangkang tahun hadapan termasuk juga rakan-rakan dari Kerajaan. Penambahan tu bukan sedikit. Kita kongsi bersama, kita kembalikan kepada rakyat dan juga wakil rakyat,” katanya. – PAHANGMEDIA

