Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 6 DISEMBER 2024 : Permohonan bagi menaiktaraf Jalan Padang Piol – Sungai Retang (Paya Garok) di Jerantut telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi di bawah Rolling Plan Ketiga Ketiga Rancangan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir Razali Kassim berkata, jalan tersebut merupakan laluan utama yang menghubungkan Kuala Tahan antara Jerantut ke Padang Piol – Sungai Retang dan Taman Negara.
“Kejadian banjir yang melanda Daerah Jerantut akan menyebabkan Seksyen 0.25 -1.25 jalan tersebut dinaiki air dan perhubungan darat akan terputus sepenuhnya terutama untuk urusan seharian disamping pemasaran ekonomi setempat terutama dari kilang sawit FELDA Padang Piol serta bantuan untuk misi menyelamat di kawasan pedalaman akan menjadi sukar.
“Kerajaan Negeri telah mengangkat permohonan dibawah Rolling Plan Ke Tiga Rancangan Malaysia Ke Dua Belas RMKe-12 bagi Cadangan Menaiktaraf Permukaan Jalan Di Laluan Ft 1508, Seksyen 0.25 -1.25 Jalan Padang Piol Sungai Retang (Paya Garok). Projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, YB. Tuan Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, susulan daripada Mesyuarat Penyelarasan Rekabentuk Terperinci, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memohon perubahan tajuk, skop dan kos (Notice of Change NOC) bagi projek tersebut pada bulan Ogos 2024.
“Cadangan perubahan ini adalah berdasarkan data ukur sebenar di tapak dan maklumat rekod banjir tertinggi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS Daerah Jerantut),” katanya. -PAHANGMEDIA

