Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Pendapatan terkumpul bagi keseluruhan kluster Program Pengalaman Homestay Malaysia (PPHM) Negeri Pahang merupakan antara yang tertinggi berbanding negeri lain.
Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Puan Leong Yu Man berkata, pendapatan terkumpul bagi keseluruhan kluster PPHM melalui 276 pengusaha adalah sebanyak RM7,896,676.99 setakat September tahun ini.
Katanya, melalui bukti pendapatan terbabit membuktikan Pahang melalui program PPHM mempunyai potensi besar dan mampu untuk menjadi salah satu daripada tarikan pelancong untuk datang ke negeri Pahang.
Selain itu katanya, Pahang juga turut menambah satu lagi kluster iaitu Homestay Ulu Cheka, Jerantut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kluster homestay di negeri Pahang adalah sebanyak 17 kluster.
Tambahnya lagi, Kerajaan Negeri Pahang juga dalam perancangan untuk membangunkan galeri dan menaiktaraf Muzium Lipis sebagai usaha untuk mempromosikan Lipis sebagai hub pelancongan warisan Negeri Pahang.
“Kerajaan Negeri telah merangka gerak kerja dalam menaiktaraf rekabentuk galeri yang melibatkan susun atur, pengisian, kelengkapan dan keperluan pameran.
“Galeri ini akan dibina berdasarkan tema yang telah diselaraskan iaitu pengenalan galeri, Kesultanan Melayu Pahang, istana dan kesenian, hubungan raja dan pembesar dan sosio-budaya masyarakat serta tokoh tempatan,“ katanya dalam ucapannya ketika sesi pergulungan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurutnya lagi, galeri dan muzium berkenaan bertujuan memberi maklumat dan penerangan mengenai susur galur sistem pemerintahan beraja di Pahang, memberi maklumat dan penerangan mengenai sejarah dan budaya tempatan, mempamerkan koleksi, artifak dan visual grafik bagi tujuan pendidikan dan menggalakkan peningkatan industri pelancongan di setiap daerah.-PAHANGMEDIA

