Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 04 DISEMBER 2024 : Kerajaan Negeri Pahang akan mengambil tindakan nasihat kepada majikan yang tidak membenarkan pekerja beragama Islam menunaikan solat ketika bekerja.
Menurut Exco Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia Negeri Pahang, YB. Tuan Sim Chon Siang, pihak yang ingin membuat aduan, boleh secara terus menghubungi pihaknya jika tidak mahu menghubungi Jabatan Tenaga Kerja (JTK) berkenaan isu ini.
“Kalau ada aduan berkenaan ini bolehlah hubungi saya dan telefon. Nanti kalau ada betul, kita ambil tindakan. Kita akan bagi nasihat kepada majikan yang bukan Islamlah.
“Kalau majikan Islam ni tak ada masalah, yang non-muslim mungkin kita akan pergi beri mereka nasihat,” katanya.
Beliau berkata namun setakat ini tiada aduan diterima oleh pihak JTK Pahang berkaitan halangan dari majikan kepada pekerja Islam untuk menunaikan solat.
“Sebenarnya untuk rekod JTK sehingga Oktober 2024, banyak aduanlah kita terima. Ada 434 kes aduan dan 377 kes buruh yang di terima oleh JTK Pahang namun tiada sebarang aduan yang diterima melibatkan halangan dari majikan untuk pekerja yang beragama Islam menunaikan solat Jumaat.
“Kalau solat dia tak bagi, halang, tak ada, kita tak terima apa-apa aduan. Tuntutan agama Islam mewajibkan penganut menunaikan ibadah solat sebanyak lima kali sehari, dan setiap hari Jumaat pekerja lelaki wajib menunaikan solat Jumaat di masjid pada waktu Zohor.
“Ini selaras dengan perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan,” katanya.
Tambah beliau lagi, menurut Undang-undang Kerajaan Negeri Pahang dalam enakmen 11 Kesalahan Jenayah Syariah 2013 Seksyen 19 turut menyatakan kesalahan bagi lelaki Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat.
“Mana-mana lelaki, yang aqil baligh, yang tidak menunaikan sembahyang Jumaat tanpa uzur syarie melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.
“JTK telah mengambil inisiatif berdasarkan panduan ini untuk elakkan sesuatu yang berlaku dan untuk memudahkan pelaksanaan tanggungjawab kepada seorang pekerja muslim dalam bekerja.
“Pekerja menunaikan solat dalam waktu kerja, perlu bagi pekerja muslim bersembahyang dalam 20 minit bagi waktu solat dan sekurang-kurangnya satu jam setengah bagi solat Jumaat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

