Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 5 DISEMBER 2024 : Ahli kariah masjid perlu diberi sokongan dan galakan supaya lebih berdikari dalam meningkatkan sumbangan kepada institusi rumah ibadah itu bagi membantu meningkatkan kualiti pengurusan masjid agar menjadi lebih profesional sepertimana masjid-masjid di Singapura.
Menjawab pertanyaan oleh ADUN Cheka, YB. Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man yang membandingkan bayaran gaji pengurusan masjid di Pahang dengan negara jiran itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ia merupakan satu cadangan yang baik namun memerlukan kerjasama dan komitmen daripada ahli kariah masjid itu sendiri agar dapat bersama-sama mengimarahkan pengurusan masjid di negeri ini.
Jelasnya, sikap berdikari di kalangan ahli kariah ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada pihak pengurusan masjid tetapi juga mampu menjadikan institusi masjid lebih tersusun dan berpusat.
“Memang bagus cadangan ini tetapi kita perlu ‘knowledge’ kan ahli kariah kita supaya sanggup untuk berkorban kepada masjid-masjid dan Kerajaan Negeri pun memang sudah bersedia membantu sebagaimana asas-asas yang diberi kepada pegawai-pegawai masjid itu sendiri, Insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan Pahang telah berjaya menaiktaraf sebanyak 30 masjid daripada keseluruhan 690 buah masjid di negeri ini
“Kita telah berjaya menaiktaraf masjid-masjid daripada 690 buah ini, ada 30 buah iaitu masjid daerah, masjid warisan. Masjid warisan ini di Kuala Lipis dan Masjid Abu Bakar, Temerloh dan juga Masjid Negeri Lama Lipis.
“Yang terbaru ini kita menaiktaraf masjid menjadi masjid daerah Masjid Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Benta, Lipis dan juga Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Sungai Koyan, Lipis dan Masjid Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Bandar Jengka,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) juga telah melaksanakan kursus ikhtisas kepada semua pegawai masjid di seluruh Negeri Pahang untuk memberikan mereka pengetahuan baru agar berupaya mengimarah dan memajukan masjid selain turut menghantar pegawai ke Mesir untuk berkursus di sana.
Pegawai-pegawai masjid daerah turut didedahkan dengan teknologi terbaru iaitu Artificial Intelligent (AI) bagi menerapkan teknologi untuk memajukan institusi masjid sesuai perkembangan semasa dan akan dikembangkan kepada masjid-masjid kariah pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA

