Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 4 DISEMBER 2024 : Kawasan Pelangai di Bentong berpotensi dibangunkan sebagai ‘Pahang Gateway’ bagi kemasukan dari negeri arah selatan melalui sempadan di Negeri Sembilan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, YB. Tuan V. Arumugam A. Veerappa Pillai berkata, bagi merealisasikan tujuan tersebut, kawasan Pelangai perlu dibangunkan dari segi kemudahan asas terutama jalan raya yang selamat dan selesa untuk kegunaan pengguna.
“Pelangai berpotensi sebagai ‘Pahang Gateway’ bagi kemasukan dari Negeri Sembilan dan kita memerlukan sistem jalan yang sempurna bagi memanfaatkan potensinya.
“Harap kerja-kerja menaiktaraf Jalan Karak-Pelangai dapat disegerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sesi Perbahasan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, Kuantan, hari ini.
Menjawab kepada ADUN Sabai, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jalan di Simpang Pelangai kini dalam kajian dan akan diteruskan pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA

