Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 3 DISEMBER 2024: Kerajaan Negeri dan FELDA sentiasa berusaha mencari jalan bagi membolehkan kelulusan sementara untuk pemasangan meter elektrik kepada rumah anak generasi yang telah siap dibina dalam lot rumah peneroka asal atau dua rumah dalam satu lot (2R1L).
Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata malah perkara tersebut juga turut dibahaskan di dalam Parlimen.
Katanya, pengurusan Felda sebelum ini telah memberikan kebenaran bagi kemasukan elektrik kepada rumah anak generasi yang telah siap dibina dalam lot rumah peneroka asal.
“Kebenaran pertama pada 27 Mei 2022 dan juga kebenaran lanjutan pada 3 Oktober 2023. Namun, setelah dibuat semakan semula berkaitan perundangan tanah mengikut Akta Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 [Akta 530] dan juga Kanun Tanah Negara (KTN) terdapat kekangan perundangan berkaitan isu dan tapak binaan 2R1L yang perlu dipinda dan ditambah baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan ADUN Sabai, YB. Tuan V. Arumugam A/L Veerappa Pilai berkaitan kebenaran menyambung bekalan elektik di rumah kedua di tapak rumah sedia ada dalam Mesyuarat Ke-3 Penggal ke-3 Dewan Negeri Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tambah YB. Dato’ Amizar lagi, Felda justeru itu telah menangguhkan sementara kebenaran terbabit dan tidak lagi membenarkan sebarang penyambungan meter elektrik ke rumah kedua selepas 31 Disember 2023 yang lalu.
“Walaubagaimanapun bagi rumah yang telah siap sepenuhnya sebelum 31 Disemberr 2023, Felda telahpun membuat perbincangan bersama TNB bagi kebenaran memasang meter tambahan sebagaimana di bawah Seksyen 24 Akta Bekalan Elektrik iaitu untuk kewajipan memberi elektrik sehinggga 31 Disember 2023 sahaja,” ujarnya.
Katanya lagi, Akta GSA berkaitan perkara terbabit sedang dalam proses penambahbaikan dan juga pindaan melalui Badan Kawal Selia Felda (BKSF) di Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengetuai pindaan ini bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Ketua Pengarah Tanah Galian (JKPTG), Pejabat Tanah Galian (PTG), Pejabat Daerah Tanah (PDT), Jabatan Pengurusan Tanah (JPT) Felda dan beberapa agensi lain serta Sesi Libat Urus bersama Pemegang Taruh dan PBN serta PBT yang terlibat telah dilaksanakan sebelum ini.
“Proses ini pada akhir pindaan akan memerlukan kelulusan Menteri yang bertanggungjawab kepada Felda iaitu YAB. Perdana Menteri seterusnya perlu dibentangkan kepada Parlimen.
“Malah YAB. Menteri Besar, Kerajaan Negeri dan Felda sentiasa berusaha untuk mencari jalan dan cara untuk membolehkan kelulusan sementara diperolehi sebelum pindaan dimuktamadkan,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

